Kelihatan sebuah keluarga tidak melepaskan peluang bergambar dengan dekorasi menarik di sekitar Bukit Bintang sempena sambutan perayaan Hari Natal pada 25 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat main peranan berterusan pelihara keamanan, semangat bersatu padu – PM

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah sebaliknya setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang mesej atau seruan berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan juga harus dibenam dengan sikap kasih sayang serta rahmah.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahmi antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian. Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2022 di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri turut berharap sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.

Beliau juga menasihatkan mereka yang pulang ke kampung halaman agar berwaspada dan berhati-hati di jalan raya.

Hari Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.

– BERNAMA


Pengarang :