Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene pada 30 Disember 2022. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
AGENDA NASIONAL

Sultan Johor berkenan terima menghadap PM

JOHOR BAHRU, 30 DIS: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.

Sebelum itu, ahli parlimen Tambun itu disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi setibanya di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi.

Ini merupakan kali kedua Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah menghadap Sultan Johor tiga hari selepas mengangkat sumpah.

Anwar turut dijadual bertemu masyarakat ketika makan tengah hari di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, Kampung Melayu Majidee, di sini.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.

Kali terakhir Anwar ke Johor ialah ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 awal November lepas.

-BERNAMA


Pengarang :