Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (duduk, tengah) bergambar bersama penerima cek cura ganjaran PIBK Mais pada majlis penutup dan penyampaian ganjaran Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) 2022 di Auditorium Dahlia, Masjid Negeri, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tangani ancaman akidah, 81 NGO Islam terima ganjaran RM1 juta Mais

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerah sumbangan berjumlah RM1.03 juta kepada 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) bawah naungannya hari ini.

Pengerusinya berkata sumbangan diberi berdasarkan komitmen pertubuhan terbabit dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah dan sosial melibatkan umat Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Pemberian juga diukur mengikut penilaian prestasi dan keberkesanan program PIBK bagi tempoh setahun.

“Semoga pemberian ganjaran ini akan mendorong semua PIBK Mais berganding bahu mempertahan dan memertabatkan kesucian Islam di Selangor,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan penutup PIBK 2022 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Antara PIBK yang menerima sumbangan ialah Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care); Persatuan Kebajikan Wanita Islam Selangor (Bakewanis); Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor (Pemadam) dan Pertubuhan Pendakwah Darul Ehsan (Daie).

Sehingga kini sebanyak 97 PIBK bernaung bawah Mais termasuk empat pusat jagaan warga emas, rumah kebajikan anak yatim (enam) dan Rumah Perlindungan Al-Riqab (satu).


Pengarang :