Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sembah taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Zafrul dahului 104 penerima darjah kebesaran Selangor

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 104 penerima sempena Hari Keputeraan ke-77 di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Berangkat mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Bersempena pengurniaan darjah dan bintang, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendahului senarai penerima dengan menerima Darjah Kelas Pertama iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran Dato’ Seri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin juga berkenan menganugerahkan darjah S.P.M.S kepada Presiden Kumpulan Perdana Parkcity Sdn Bhd Dato’ Sri Yaw Chee Ming.

Sementara itu, Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’ Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia (wanita) dianugerahkan kepada Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

Seramai 10 individu dikurnia Darjah Kelas Kedua Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato bagi lelaki dan Datin Paduka (wanita).

Mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Dato’ Zakri Jaafar; Duta Besar Malaysia ke Jepun Shahril Effendi Abd Ghany dan Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan Kementerian Luar Negeri Dato’ Roslan Abdul Rahman.

Turut menerima darjah kebesaran sama Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman; Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Dato’ Salim Soib@Hamid; MK Pemerintahan Armada Barat-Panglima Armada Barat Datuk Abu Bakar Md Ajid dan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Dato’ Ishak Bakri.

Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Dato bagi lelaki dan Datin Paduka (wanita) kepada 11 penerima.

Antara penerima ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Mohd Yazid Sairi; Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management Ramli Mohd Tahir.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) kepada Pengarah Urusan KDEB Waste Management Ramli Mohd Tahir sempena Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, seramai 19 individu menerima darjah dan bintang kebesaran yang tidak membawa gelaran iaitu Setia Mahkota Selangor, Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (19), Ahli Mahkota Selangor (17) dan Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (15).

Baginda juga berkenan mengurniakan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor kepada tiga atlet dan tujuh penerima pula dianugerahkan Bintang Perkhidmatan Cemerlang.


Pengarang :