Penyedia dan pengendali makanan serta minuman di gerai Sri Dahlia, Medan Selera MPS, Gombak memakai pelitup muka, penutup kepala dan apron bagi meningkatkan tahap kebersihan dan mematuhi syarat lesen Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika tinjauan di premis berkenaan pada 3 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Arahan pakai pelitup muka disambut baik, jamin keselamatan dan kebersihan

SHAH ALAM, 9 JAN: Arahan mewajibkan penjaja dan peniaga makanan mengenakan pelitup muka mulai 1 Januari lepas mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang bantahan mana-mana pihak malah disambut baik berikutan mampu menjamin keselamatan dan kebersihan.

“Peniaga sendiri merasakan arahan ini baik. Bukan hanya menjamin kebersihan tetapi keselamatan mereka juga yang sering berurusan dengan ramai pelanggan,” katanya ditemui pada majlis ramah mesra bersama pengurusan komuniti kampung baru, bagan dan tersusun semalam.

Berhubung tindakan denda atau kompaun, Sze Han berkata pihaknya tidak memfokuskan perkara itu ketika ini sebaliknya lebih kepada fasa mendidik peniaga.

“Sebab itu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi tempoh untuk membiasakan peniaga. Sama seperti penggunaan topi dan apron,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menyaran pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengendali makanan dibuat secara berperingkat oleh PBT.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu bagi menimbulkan keyakinan pelanggan ketika proses penyediaan dan hidangan makanan.


Pengarang :