BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bahana fenomena ribut suria, dampak ngeri pada warga Bumi

SHAH ALAM, 30 JAN: Sekitar beberapa dekad sekali, bumi dihentam oleh ribut suria (solar storm) yang menyebabkan gangguan elektrik di bumi. Ribut suria yang berlaku pada 1882 dan 1921 mengakibatkan perkhidmatan telegraf tidak berfungsi dan banyak perkakas elektronik terbakar.

Bumi mempunyai medan magnet yang melindungi penghuninya daripada angin solar berbahaya. Tanpa medan ini, bumi akan kering kontang dan tidak dapat dihuni seperti Marikh. Marikh pun pada asalnya berkeadaan seperti bumi tetapi kehilangan medan magnetnya telah menjadikannya padang jarak padang tekukur seperti hari ini.

Angin suria bertukar menjadi ribut apabila jumlah tompok matahari tinggi. Tompok matahari melepaskan plasma yang banyak dan laju bersama-sama dengan medan magnet matahari. Semakin banyak tompok matahari menandakan banyaklah plasma dan medan magnet dilepaskan daripada matahari.

Kejadian ini mengganggu medan magnet bumi dan menyebabkan kejadian ribut geomagnet tercetus, kemudian mencetuskan Geomagnetically Induced Currents (GIC). Seterusnya akan mengganggu bekalan kuasa dan elektrik di bumi.

Ribut suria paling dahsyat pernah berlaku adalah pada 1859. Namun pada masa itu kita belum ada rangkaian komunikasi, belum ada bekalan dan grid kuasa elektrik untuk melihat impaknya yang dahsyat. Jika kejadian ribut suria 1858 berlaku di zaman ini, bekalan elektrik di seluruh dunia akan putus termasuklah rangkaian internet.

Beberapa kejadian ribut suria dahsyat pernah berlaku selepas itu. Pada 1972, ribut suria mengakibatkan gangguan elektrik, rangkaian komunikasi dan satelit di seluruh Amerika Utara serta mengakibatkan meletupnya beberapa peranti letupan.

Ketika Perang Vietnam, terdapat beberapa kapal perang Amerika Syarikat meletup dan tidak diketahui puncanya. Setelah diselidik, rupa-rupanya terdapat peranti letupan yang meletup akibat daripada ribut suria.

Pada 1989, ribut suria mengakibatkan 6 juta penduduk tiada bekalan kuasa selama 9 jam. Perkakas-perkakas elektronik tidak berfungsi. Aurora muncul menghampiri kawasan khatulistiwa.

Kemunculan aurora di kawasan-kawasan yang menghampiri garisan khatulistiwa adalah peristiwa yang sangat ganjil kerana biasanya aurora hanya kerap berlaku di negara-negara kutub utara dan selatan serta yang berhampiran dengannya.

Internet terputus

Sekiranya kita perhatikan kejadian ini, ribut suria berlaku sewaktu bilangan tompok matahari tinggi pada kitaran tersebut. Ada waktu bumi terlepas daripada dihentam ribut suria seperti yang berlaku pada 2012.

Kesan hentaman ribut suria tidak seragam di seluruh dunia. Kawasan-kawasan yang berada di altitud yang tinggi lebih berisiko terkena impak daripada ribut suria.

Jika Amerika Syarikat terkesan, Malaysia mungkin masih selamat. Tambahan lagi, sistem elektrik di zaman sekarang telah dicipta dengan persediaan untuk berhadapan dengan ribut ini.

Tetapi kita masih perlu bersedia dan berjaga-jaga kerana kita masih belum biasa menghadapi ribut suria di zaman ini yang hampir segala-galanya melibatkan peranti elektronik dan digital.

Selain itu, teknologi kabel internet kita pun masih belum mempunyai persediaan untuk berhadapan dengan ribut ini. Kabel ini pula berhubung dengan banyak negara.

Pada 2008, kabel internet pernah terganggu dan kejadian ini menyebabkan terputusnya internet di seluruh Timur Tengah, India hinggalah ke Singapura dan Indonesia.

Tidak mustahil apabila ribut suria dahsyat berlaku pada masa akan datang, rangkaian internet di seluruh dunia akan terganggu. Bagi orang biasa seperti kita, internet terputus mungkin kecil kesannya.

Tetapi untuk industri-industri besar seperti pengangkutan, hospital, bank, tentera dan sebagainya akan menerima impak yang dahsyat. Banyak aktiviti dan operasi tidak dapat dijalankan dengan cekap dan sempurna.

Rantaian bekalan akan putus. Air dan sumber bekalan penting tidak dapat dibekalkan dengan baik dan lancar. Kesannya akan sampai ke orang kecil macam kita juga. Impaknya ibarat diserang pandemik sehingga banyak aktiviti penting sukar beroperasi.

Amerika Syarikat pernah kerugian hingga 2.6 trilion dolar akibat daripada serangan ribut suria. Survival Family (2016) merupakan filem dari Jepun yang menayangkan kemandirian dan kelangsungan hidup apabila bekalan kuasa, elektrik dan internet tiba-tiba terputus.

Filem ini mungkin dapat menggambarkan dengan baik bagaimana keadaannya apabila segala perkakas dan peranti elektronik tidak berfungsi lagi dari sudut marhaen.


Pengarang :