Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat naskhah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Buku terjemahan riwayat Rasulullah antara karya diminati MB

SHAH ALAM, 9 JAN: Buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Muhammad: Riwayat Hidup Daripada Sumber Terawal menjadi karya pilihan Dato’ Menteri Besar.

Menurut IBDE jawapan spontan Dato’ Seri Amirudin Shari diperoleh ketika majlis peluncuran kedai buku milik agensi penerbitan berkenaan, Sabtu lalu.

“Kami berbesar hadir menerima kehadiran Amirudin yang hadir semasa sesi peluncuran Kedai Buku Rencana @ IBDE.

“Semasa ditanya buku pilihan Dato’ Seri, beliau menyenaraikan Muhammad: Riwayat Hidup Daripada Sumber Terawal karya Martin Lings sebagai karya yang wajar dibaca,” katanya di Facebook.

Pembantu Akaun dan Tadbir Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Nur Rasyidah Azhar menunjukkan tiga buku terlaris terbitan syarikat itu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Naskhah terjemahan berkenaan antara karya yang diburu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022, Disember lalu.

Pada 7 Januari, Amirudin menghadiri pembukaan kedai buku Rencana yang dibangunkan IBDE di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Gombak itu berharap pembukaan Rencana dapat mengembangkan pemahaman masyarakat menerusi penjualan karya terjemahan antarabangsa.

IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre termasuklah agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

Sejak menerima sokongan Kerajaan Negeri pada 2017, IBDE semakin dikenali malah karya terbitan turut mendapat permintaan tinggi dan tahun ini 15 naskhah lagi bakal diterjemah ke bahasa Melayu antaranya karya agung Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali.

Selain sokongan kewangan, agensi penerbitan berkenaan turut menerima bantuan promosi termasuk aspek pemasaran dari Media Selangor Sdn Bhd.


Pengarang :