EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail menyampaikan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada penerima ketika Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Tingkat produktiviti usahawan, bantuan RM30,000 alatan niaga diteruskan

SHAH ALAM, 7 JAN: Geran bantuan peralatan perniagaan melalui Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) diteruskan tahun ini, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata bantuan dana kepada usahawan sehingga RM30,000 itu antara inisiatif bagi meningkatkan produktiviti pemasaran dan hasil jualan usahawan mikro di negeri ini.

“Selain itu, program latihan, peningkatan pembungkusan produk dan promosi produk usahawan mikro diteruskan dalam usaha memperkasa golongan usahawan.

“Ia bukan sahaja di dalam negara malah akan meluaskan promosi ke luar negara dengan menyertai ekspo luar negara sekali gus membantu usahawan mikro Selangor menembusi pasaran di sana,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

DUMS diperkenalkan pada 2021 bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan produktiviti operasi selain meringankan beban modal untuk membeli peralatan perniagaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama antara agensi persekutuan, negeri dan swasta turut dilaksana bagi membantu program latihan serta promosi produk usahawan Selangor di dalam dan luar negara.

“Kerjasama membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan Institut Keusahawan Negara (Insken).

“Selain itu, Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” katanya.

 


Pengarang :