BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Filem negara di takuk lama, anak seni lebih berjaya di luar

OLEH DANIYAL KADIR

SHAH ALAM, 19 JAN: Tan Sri Michelle Yeoh mencipta kejayaan hebat dalam penglibatannya dalam bidang filem apabila dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk Anugerah Golden Globe menerusi karakter yang dimainkannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini nyata mengundang rasa bangga seluruh negara dan tidak kurang juga ramai yang berpandangan beliau telah mengharumkan arena perfileman negara.

Ini bukan kali pertama Michelle meraih perhatian dunia menerusi anugerah yang dikecapinya. Pada 2000, filem bercorak wuxia lakonannya yang diarahkan oleh Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon meraih 10 pencalonan di Anugerah Akademi.

Walau tidak mendapat pencalonan untuk diri sendiri bagi filem berkenaan, namun lakonan Michelle dalam filem ini meraih perhatian kelompok pengkritik filem dari seluruh dunia termasuk Toronto Film Critics Association.

Namun pencapaian beliau bagi filem Everything Everywhere All At Once mencatatkan sesuatu yang luar biasa apabila ia disambut sebagai antara lakonan terbaik bagi 2022.

Di sebalik kejayaan yang harus kita raikan ini, terdapat beberapa persoalan besar yang perlu dijawab. Mengapa anak seni kelahiran negara ini perlu keluar untuk mencipta nama dan kejayaan lebih besar di peringkat global?

Ia menimbulkan persoalan adakah ekosistem seni dan budaya di negara ini bermasalah dan tidak cukup dalam memberikan galakan serta sokongan untuk seniman di negara ini bergerak maju dan mencapai kejayaan yang diinginkan.

Jika kita membaca tentang latar belakang Michelle, sudah tentu beliau mencipta nama dalam sinema Hong Kong sebelum mengembangkan sayap ke Hollywood dan kemudian berjaya membariskan diri dalam kalangan nama penting dari seluruh dunia.

Tan Sri Michelle Yeoh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya bagi filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Golden Globe ke-80 di Beverly Hills, California pada 11 Januri 2023. Foto REUTERS

Potensi luar biasa

Sebenarnya Malaysia mempunyai potensi seniman luar biasa. Jika diambil dalam konteks perfileman, kita sebenarnya sudah mencipta nama di arena dunia jauh lebih dahulu sebelum apa yang dikecapi oleh Michelle.

Kaki Bakar arahan U-Wei Haji Saari mencipta nama di Festival Filem Cannes. Filemnya menempatkan diri dalam kategori Un Certain Regard. Begitu juga kejayaan Yasmin Ahmad menerusi Mukhsin yang mencatatkan prestasi memberangsangkan di Berlin.

Amanda Nell melalui filem pendeknya Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu pernah meraih pencalonan sebagai filem pendek terbaik di Venice pada 2017. Pembikin filem yang baru mendapat pengiktirafan di Festival Filem Malaysia, Tan Chui Mui sudah terlalu biasa membawakan filem-filemnya ke arena antarabangsa.

Malah yang terkini, Badrul Hisham Ismail menerusi filem berjudul Maryam Pagi Ke Malam berjaya mencipta nama di Rotterdam.

Ini mungkin sebahagian besar sahaja nama yang berjaya disebutkan. Pada hakikatnya senarai sudah tentu lebih panjang. Apabila kita meneliti setiap nama-nama ini, kita akan membangkitkan persoalan, mengapa nama-nama ini jarang muncul dalam arus perdana dunia perfileman Malaysia. Adakah pencapaian mereka ini tidak cukup besar untuk dihargai atau disebutkan?

Sebenarnya kita bukan memerlukan kata-kata puji semata-mata saat mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan, namun paling besar bagaimana kita mencipta ruang paling baik untuk seniman perfileman ini berkarya dan menayangkan karya mereka.

Filem-filem yang mencipta nama di festival ini sukar untuk ditemui dan ditonton, walaupun ia sarat dengan pemikiran dan kekuatan dalam mewakili seni budaya negara.

Perkara paling besar boleh dilihat adalah bagaimana kita menyediakan ekosistem yang jelas supaya wajah-wajah seniman ini terus kekal berada di sini dan berbangga menghasilkan karya untuk nama negara.

Mereka tidak meminta banyak, tetapi sokongan berterusan. Bagaimana mampu mereka memberikan kebanggaan jika karya mereka sendiri pun sukar untuk menembusi ruang penayangan awam di negara sendiri. Panggung wayang sendiri tidak sedia memberikan keutamaan.

Ini cuma sekelumit kesan yang kita dapat lihat bagaimana tumpulnya sinema negara jika pembangunan perfileman itu tidak diberikan perhatian. Kita boleh berbangga dengan Michelle, tidak ada salahnya, ia suatu kejayaan dan boleh diraikan. Namun dalam kita memperkatakan tentang kejayaan itu, sebenarnya tersembunyi hal-hal yang lebih jauh perlu difikirkan.

Bagaimanakah kita menyambut pengorbanan seniman sendiri dan adakah kita bersedia untuk mencukupkan ruang untuk karya-karya mereka diraikan dan dihargai?


Pengarang :