Penduduk, Raja Sahrin Tengku Ismail, 56, meranduk air banjir untuk melihat kawasan sekitar rumahnya yang dinaiki air akibat limpahan air Sungai Muar di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Johor pada 3 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Johor dilanda banjir, 422 mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan

JOHOR BAHRU, 24 JAN: Johor mula dilanda banjir dengan seramai 422 mangsa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat 2 petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya memaklumkan lapan PPS di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Segamat itu, dibuka secara berperingkat mulai 11 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

“Sebanyak 105 keluarga ditempatkan di lima PPS di Segamat, sembilan keluarga di dua PPS di Kluang dan enam keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat pada tahap bahaya dijangka berterusan membabitkan daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

Menurut MetMalaysia hujan lebat berterusan pada tahap buruk pula dijangka melibatkan daerah Pontian, Segamat dan Batu Pahat, manakala Tangkak dan Muar pula pada tahap waspada.

Selain itu, empat sungai di Johor melepasi paras berbahaya iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.03 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.18m, Sungai Segamat (Sungai Segamat Kecil) di paras 38.11m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14m.

– BERNAMA


Pengarang :