BUDAYARENCANA

Kau munafik maka kau ada

Oleh Ruhayat Ahmad

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Terminal bas. Subuh. Kau dail nombor yang bernama ‘Rahim’. Tidak berangkat. Kau hantar mesej “Im, aku dah sampai KL.” Kau buka plastik kotak rokok dan cucuh sebatang. Hembus pada langit yang merona jingga. Angin menyapu pipi dan rambut nipis kau. Angin Kuala Lumpur!

“Betul ke tak gi majlis Jimi ni?” tanya kau.

“Aku pergi yang belah lelaki la nanti, malas la nak gi KL.” jawab Faiz. “Kirim salam la dekat Jimi dengan Rahim.”

“Kirim salam tak jadi apa, kirim duit la!” Kau ketawa. Faiz turut ketawa.

Faiz mengadu yang dia rasa tertekan. Kalau waktu solat, aku akan masuk bilik, cuma masa Jumaat memang tak boleh skip, memang kena pergi masjid, adu Faiz kepada kau sambil gulung rokok daun.

Memang susah duduk dengan famili. Nak hidup dekat KL balik rasa dah tak mahu. “Berapa lama dah mu balik duk kampung?” tanya kau. Faiz tengok muka kau, “Lebih kurang enam bulan dah”.

“Baru enam bulan, nanti lama lama mu akan adapt dengan sendiri,” kata kau sambil mengunyah pisang goreng. Faiz tidak terus membalas.

“Aku nak cakap yang aku dah tak percaya dengan semua ni dekat ayah aku” sambung Faiz lagi. “Tapi aku tak sampai hati. Mak aku pun tengah tak sihat sekarang. Aku tak nak menyesal nanti.” Kau menunggu Faiz sambung lagi. “Aku tak nak jadi macam Rahim, mak dia sampai sakit jantung sebab dia confess mak dia yang dia dah tak praktis agama.”

Mak Rahim cakap “Selagi mu duk rumah aku, mu kena cayo serupo aku cayo!”

Kau cerita pada Faiz yang kau pernah cakap pada Rahim, keluarga ini titik lembut kita semua. Titik lemah dan juga titik kekuatan kita semua. Kau juga begitu berlawan lidah dengan abah dan umi tentang banyak hal sebab kau persoalkan banyak hal dalam hidup kau. Kau tak percaya banyak benda.

Waktu itu kau muda. Masa kau jatuh dulu, yang datang tolong tetap keluarga kau sendiri. Masa tu kau malu sendiri. Kau dilema. Akhirnya kau akur.

Kau ceritakan yang sudah tiga tahun balik tinggal di kampung setelah selesai belajar di universiti tapi setiap kali kau ke surau, jemaah akan tanya bila balik? Kau kekok dalam kampung kau sendiri. Pergi ke surau bukanlah sepenuhnya keinginan kau. Cuma nak jaga hati abah yang juga imam di kampung.

Lagipun dengan pergi ke surau sajalah cara untuk kau tunjuk muka dekat orang kampung. Nak tunjuk yang kau wujud dekat kampung ni.

“Sebab itulah aku munafik maka aku ada.” Kau ketawa sambil memilih goreng pisang di atas pinggan.

Faiz juga akui yang dia juga begitu. Tak bergaul dengan orang kampung. Kawan-kawan sebaya semua kerja dekat luar negeri. Kau mencelah “Kita ni generasi 90-an, generasi yang mak ayah hantar masuk sekolah agama kat bandar, masuk asrama, masuk universiti, kerja dekat KL. Kawan-kawan kita semua orang luar. Kawan-kawan sekolah rendah semua kita dah tak rapat. Lepas tu bila je kita duk kampung?”

..

“Kerja ok, Im? kau tanya.

Slow sikit. Tengah tunggu payment.” Balas Rahim dari dapur.

“Lama ke kat KL?” tanya Rahim semula.

“Esok malam balik terus.” Kau balas.

“Sebentarnya!”

“Tak boleh tinggal kerja sekarang ni. Projek baru start. Kena monitor tukang. Kalau biar nanti tak jadi rumah pula.” Balas kau sambil bakar sebatang rokok.

Rahim masuk ke ruang tamu dengan sebatang penyapu. Kau tengok badan Rahim yang tak berbaju dan hanya bertuala. Kau menghampiri Rahim.

“Eh Jap, bila buat ni?”

“Dua bulan dah.” Balas Rahim sambil terus menyapu lantai.

Kau cuba mengeja sebuah cacahan tatu di bahagian lengan kanannya. “Le…la?”

“Anjing aku.” Balas Rahim. “Tapi aku bagi partner aku bela dulu. Dekat apartmen susah nak bela.”

“Partner? Yang mana satu ni? Tak pernah cerita pun.”

Rahim terus menyapu “Adam. Mu tak kenal lagi kot.”

“Dulu tak boleh buka baju tapi la ni kena pakai baju lengan panjang la bila balik kampung”. Kau ketawa.

Rahim terus menyapu.

Lama sedikit Rahim bersuara “Mak aku kena terima juga aku macam ni.”

Rahim dan kau baru sudah makan. Dari kejauhan kau pandang sepasang pengantin yang sibuk bergambar bersama tetamu di pelamin yang penuh dengan bunga putih serta gemerlapan lelampu.

Latar lagu Terukir di Bintang menghiasi suasana. Kau orang memilih keluar dewan untuk hisap rokok.

Lepas itu Rahim dan kau masuk dan bergambar dengan pengantin.

“Tahniah Jimi! Tahniah Bella!”

Berjabat tangan dan undur diri.

Dalam elarti. Tidak begitu sesak dengan orang. Ada satu couple Cina sedang berpelukan di depan kau dan Rahim.

“Mu kenal ke Bella tu?” tanya Kau.

“Kenal gitu gitu jah.” Balas Rahim. “Jimi pernah bawa balik rumah aku dua tiga kali.”

Rahim kembali diam. Wajahnya seperti fikirkan sesuatu.

Kau lepaskan pandang ke luar tingkap. Hutan batu disirami mataharistiwa.

Rahim bersuara dan bercerita tentang dia hampir-hampir tumbuk bekas bosnya.

“Sebab lewat bayar gaji hari tu ke?” kau meneka.

“Tu satu hal, lepas tu dia bawa mulut dekat staf lain pasal aku dengan Adam.”

Kau cuma diam. Tunggu Rahim sambung cerita.

“Aku nak pindah Taiwan hujung tahun ni.” Rahim bersuara.

“Oh untuk Course Mandarin tu ke?”

“Haah, diorang pun offer juga kerja dekat sana.”

“Sebagai?”

Translator dan Cultural Worker,” jawab Rahim. “Kat sana memang dah banyak mula terjemahan bahasa Melayu ke Mandarin.”

“Mu pergi sorang ke?”

“Mula mula ni sorang. Mungkin nanti Adam akan join.”

“Berapa lama mu stay sana?”

Rahim cuma angkat kedua bahunya. “Kalau kena dengan jiwa, maybe stay sana terus kot.”

Kau diam. Tren telah sampai ke stesen Abdullah Hukum. Kau berdua bergerak keluar.

…..

Terminal bas. Senja. Tanpa angin yang meniup. Kau habiskan rokok. Kau ronyok kota rokok biarbersisa dua tiga batang lagi – buang ke tong sampah lalu menuju masuk ke ruang menunggu. Bas

KUALA LUMPUR – KOTA BHARU bakal tiba.

 

 

 


Pengarang :