KUALA SELANGOR, 30 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi sumbangan RM113,165 kepada Persatuan Komuniti Alam Perdana, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.
Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bagi pembinaan pagar komuniti itu sudah diluluskan pada 2018 oleh Dato’ Menteri Besar terdahulu.

“Sebenarnya permohonan mereka sudah diluluskan lebih lima tahun lalu tetapi berlaku masalah teknikal.
“Pada 2021 saya dimaklumkan berkaitan masalah ini. Jadi saya teliti kembali fail lama dan kita dapat kelulusan baharu daripada Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.
Terdahulu Ahmad Azri menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Komuniti Alam Perdana Husaini Saimon dan disaksikan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu Husaini berkata pembinaan pagar komuniti bertujuan mengekang masalah anjing liar dan kejadian pecah rumah yang kerap berlaku di perumahan terbabit.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Melalui pembinaan pagar ini, ia mungkin dapat menyelesaikan masalah yang mengganggu hampir 600 penduduk di sini,” katanya.