Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berucap selepas Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Surat Akujanji di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA laksana empat projek tebatan banjir sejak Disember

Oleh SOFIA NASIR

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan empat projek tebatan banjir di bawah Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD).

Datuk Bandar Shah Alam berkata kerja bermula sejak Disember tahun lalu itu sedang dilakukan terutamanya di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini.

Dr Nor Fuad Abdul Hamid menjelaskan tiga lagi kawasan adalah di Taman Sri Muda, Seksyen 25; Taman Mesra, Seksyen U1 dan Seksyen 13.

“Kita telah mengeluarkan empat surat lantikan dan kerja sedang dijalankan. Tahun ini kita akan keluarkan beberapa lagi surat lantikan.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat embargo. Kita jangka projek baharu akan dimulakan pada April hadapan,” katanya selepas majlis angkat sumpah dan pelantikan ahli majlis MBSA, semalam.

Awal Disember tahun lalu, MBSA memperkenal SASuD yang akan dilaksana secara jangka pendek dan berfasa bagi mengurangkan risiko bencana itu berulang.

EXCO Infrastruktur Izham Hashim berkata MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negara ini yang melaksanakan pelan bersepadu projek tebatan banjir.


Pengarang :