Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif sempena hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Orang ramai dipelawa mohon geran komuniti Subang Jaya

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempelawa masyarakat kawasan itu memohon Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata geran komuniti itu terbuka kepada mana-mana organisasi, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan institusi pendidikan di Subang Jaya.

“Sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi geran ini menerusi konsep penyertaan masyarakat, rakan sinergi dan inklusif ke arah Subang Jaya Bandar Mampan.

“Bagi pelaksanaan projek, mereka perlu mengikut kriteria utama antaranya perlu ada elemen bandar makmur, bandar selamat, bandar pintar, bandar hijau, bandar sihat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi program Subang Jaya Coffee Talk di Facebook MBSJ semalam.

Johary berharap peserta dapat melaksanakan projek berimpak tinggi dan mencapai objektif kemampanan bandar raya memandangkan inisiatif itu julung kali dianjurkan.

“Geran ini akan diberi dengan minimum sebanyak RM8,000 sehingga maksimum RM50,000 bergantung kepada aktiviti yang mereka mohon,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung geran itu boleh melayari laman sesawang rasmi http://www.mbsj.gov.my atau media sosial rasmi pihak berkuasa tempatan itu.


Pengarang :