Pelukis Ellie menunjukkan mural yang siap dibaik pulih di SS2, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pelukis ambil masa lebih dua bulan baik pulih mural di SS2 Petaling Jaya

PETALING JAYA, 17 JAN: Seorang pelukis ilustrasi meluangkan masa lebih dua bulan untuk membaik pulih tujuh lukisan mural di sekitar pusat komersial SS2 di sini.

Silly Jellie, 29, berkata beliau berasa terpanggil untuk memulihkan lukisan mural tersebut selepas melihat karyanya di situ semakin pudar.

“Pada Jun lalu saya hubungi Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku dan luahkan hasrat untuk baik pulih mural saya.

“Mereka setuju dengan cadangan saya, dan mahu saya bantu pulihara enam lukisan mural lain di situ. Saya berbesar hati untuk bantu,” katanya yang juga pelukis mural sambilan.

Lukisan mural yang telah dibaik pulih di dinding lot kedai Jalan SS2/64, Petaling Jaya pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu Silly bersama ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei membawa pengamal media melihat tujuh mural yang selesai dibaik pulih di Pusat Komersial SS2, dengan peruntukan sebanyak RM19,500 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Silly adalah salah seorang pemenang Pertandingan Mural Dinding ‘Bestnya Malaysiaku’ yang dianjurkan bekas ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan MBPJ pada 2015.

Pertandingan itu bertujuan untuk memberi wajah baharu kepada Pusat Komersial SS2, selain menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.


Pengarang :