Orang ramai beratur untuk mendapatkan barangan keperluan asas di program Jualan Ehsan Rakyat (JER) Tahun Baharu Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Econsave Pandamaran pada 19 Januari 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk mahu jualan murah PKPS diterus, ringan kos belanja B40

Oleh SHAMZ JOHAN

KLANG, 18 JAN: Pengunjung Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran berharap program itu diteruskan bagi meringankan kos belanja golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurut Sawal Aripin, 38, selain harga barang yang murah jualan barang keperluan itu amat membantu golongan berkeluarga dengan isi rumah yang ramai sepertinya.

Sawal Aripin

“Di rumah ada sembilan orang, jika tiada jualan murah seperti ini terpaksa kawal perbelanjaan. Jadi memang perlulah (program) dibuat, lagipun harga dan kualiti barang sangat bagus dan murah.

“Lebih-lebih lagi baru dapat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), dapat beli lebih,” kata suri rumah itu.

Seorang lagi suri rumah, Soh Bee Tn, 48, berkata beliau mengambil kesempatan berbelanja keperluan rumah selain sebagai persediaan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Soh Bee Tn

“Saya baru tahu pasal jualan murah ini, jadi ambil kesempatan beli untuk persiapan Tahun Baharu Cina minggu depan.

“Ramai penduduk tidak berkemampuan datang ke sini, harap boleh terus anjurkan lagi,” katanya yang berpuas hati dengan kualiti produk ditawarkan.

Bagi S Sivalingam, 63, beliau baru pertama kali ini hadir ke jualan itu walaupun sudah lama mengetahui tentang program berkenaan.

S Sivalingam

“Sudah lama tahu, baru kali ini dapat datang. Sasar beli beras dan minyak tapi saya pulang menaiki motorsikal, jadi tidak dapat beli lebih,” katanya yang berharap JER turut dianjurkan di kawasannya di Sijangkang Dalam.

Sementara itu, Penolong Pengurus Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Azinur Zahri berkata pek makanan laut dan makanan kering turut ditawarkan kepada pengunjung.

“Berdasarkan maklum balas diterima, kami menawarkan pek makanan seperti kerang, udang dan kupang serta ikan merah yang dijual pada harga RM20 seekor dan ikan siakap RM10 seekor.

“Makanan kering keluaran PKPS seperti biskut, sardin, cili giling dan tepung gandum ditawarkan pada harga murah bagi pengunjung yang berminat,” katanya lagi.

Program jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :