Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, Klang pada 17 Januari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah PKPS sentiasa dinanti, ringan beban golongan B40

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 18 JAN: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri terbukti meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah (B40).

Muhammad Raihan Ibrahim Muniandy, 26, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang berbelanja setiap kali ia dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa berpandukan jadual Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melalui Facebook.

“Beli barang di program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) memang berbaloi kerana jimatkan belanja. Bayangkan dengan RM30 saya boleh beli seekor ayam, sekampit beras dan sepapan telur.

Muhammad Raihan Ibrahim Muniandy. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Di pasaran luar mahal dan amat terhad barang boleh dibeli. Tambah pula saya hanya bekerja secara sambilan, memang terasa bila harga barang melambung,” katanya yang sudah dua kali mengikuti program itu.

Bagi ibu tunggal Sarah Rahim, 60, program anjuran Kerajaan Negeri itu sentiasa dinantikan golongan B40 kerana ia jelas membantu mereka mendapatkan barangan dapur dengan mudah dan menjimatkan.

“Bersyukur ada program seperti ini, banyak perbelanjaan dapat dijimatkan. Makcik memang ikat perut sebab anak juga telah meninggal dunia. Bila ada jualan ini memang lega sebab dapat berjimat,” kata Sarah yang menyara hidup hasil pencen arwah suaminya berjumlah RM1,500.

Menurut peniaga kecil-kecilan Tuan Hajarul Azmiza Tuan Ismail, 34, program tersebut sentiasa dinantikan dan beliau hadir seawal 8 pagi kerana tidak mahu terlepas membeli barangan segar dan berkualiti pada harga murah.

Tuan Hajarul Azmiza Tuan Ismail. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Di luar tak dapat harga begini. Saya memang harap program ini diteruskan untuk bantu rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Sementara Hassan Aliman, 66, sanggup beratur dalam barisan panjang dan ‘dibakar’ terik mentari semata-mata untuk membeli barang keperluan untuk keluarga.

“Alhamdulillah, jualan murah ini sangat berbaloi dan wajar diteruskan. Kami hanya penduduk kampung, jadi pendapatan cukup-cukup makan lebih-lebih lagi pesara seperti pakcik. Bila ada jualan murah, sekurang-kurangnya boleh ringankan beban kewangan,” katanya.

Pada 13 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :