EXCO Industri dan Perdagangan, Dato’ Teng Chang Khim (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris ketika sidang media sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 di Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 16 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor anjur rumah terbuka Tahun Baharu Cina, sasar 10,000 tetamu

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri menganjurkan rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, dekat sini pada 28 Januari dengan sasaran kehadiran 10,000 tetamu.

EXCO industri dan perdagangan berkata majlis bermula jam 3.30 petang hingga 10.30 malam diisi dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan tarian singa, opera tradisi, wayang kulit, pertandingan kaligrafi selain kemudahan gerai jualan.

Jelas Dato’ Teng Chang Khim program bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu turut menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

“Persembahan ini dianjurkan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan hanya melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan. Bagaimanapun kita menyediakan layar di dataran untuk menghiburkan tetamu awam.

“Dijangkakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chang Khim berkata sambutan tahun ini kembali dibuat secara besar-besaran selepas tiga tahun tidak dianjurkan memandangkan penularan wabak Covid-19.

“Kita pernah adakan majlis di beberapa lokasi antaranya Klang, Petaling Jaya dan Ampang. Namun disebabkan pandemik pada 2020 dan 2021 kita anjurkan dalam talian manakala tahun lalu secara tertutup.

“Untuk kali ini, kita galakkan tetamu mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan. Dalam masa sama polis, Jabatan Sukarelawan dan anggota MBSA juga akan bertugas mengawal keadaan,” katanya.


Pengarang :