Tan Sri Michelle Yeoh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya bagi filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Golden Globe ke-80 di Beverly Hills, California pada 11 Januri 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Selepas Golden Globe, Michelle Yeoh tercalon pelakon wanita terbaik Oscar

SHAH ALAM, 25 JAN: Dua minggu selepas memenangi pelakon wanita terbaik Anugerah Golden Globe, Tan Sri Michelle Yeoh terus melakar sejarah apabila tercalon dalam kategori sama untuk Oscar ke-95.

Anak seni kelahiran Malaysia itu menjadi pelakon wanita Asia pertama yang mendapat pengiktirafan untuk dicalonkan dalam kategori utama anugerah berprestij tersebut, lapor Berita Harian.

Yeoh, 61, dicalonkan untuk watak Evelyn Quan dalam filem Everything Everywhere All at Once, yang diumumkan di California, Amerika Syarikat secara dalam talian, malam tadi.

Calon lain yang bersaing ialah Cate Blanchett bagi filem Tar, Andrea Riseborough (To Leslie), Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana De Armas (Blonde).

Filem Everything Everywhere All at Once arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert turut menerima beberapa pencalonan pada anugerah Oscar termasuk Filem Terbaik.

Pada 11 Januari, Yeoh yang berasal dari Ipoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe atas lakonan dalam filem sama.

Anugerah Oscar dijadual berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles pada 12 Mac depan.


Pengarang :