Penyanyi lagu Melayu asli Datuk Andre Goh ketika diwawancara Media Selangor di pusat beli-belah Pandan Kapital, Pandan Indah, Ampang pada 17 Januari 2023 Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

50 tahun alun lagu Melayu asli, Andre Goh cipta nama sampai Asia Tenggara

SHAH ALAM, 25 JAN: Nama Andre Goh cukup dikenali pada dekad 1970-an dan 1980-an. Terkenal sebagai bukan Melayu yang menyanyikan lagu Melayu asli, Andre atau nama sebenar Goh Eng Boon mula disebut-sebut sejak menyertai Bakat TV RTM 1972.

Pelantun lagu Dikirim Jangan Dipesan Jangan yang cukup popular pada 1973 masih mampu mengekalkan lenggok nyanyian, walau sudah lima dekad berkecimpung dalam persada seni suara.

Wartawan Nazli Ibrahim menyorot karier seni dan tradisi Andre menyambut Tahun Baharu Cina bersama Media Selangor di Cubic World Cafe, Pandan Kapital di Kuala Lumpur pada 17 Januari. Foto dirakam oleh Ahmad Zakki Jilan


Bakatnya dikesan Allahyarham Tan Sri P Ramlee semasa seniman itu menjadi juri pertandingan akhir Bakat TV RTM pada 1972. Tokoh lain yang turut menjadi juri ialah komposer Datuk Ooi Eow Jin.

Semasa pertandingan itu, P Ramlee dikatakan terpikat dengan kebolehan Andre Goh dan mencadangkan beliau diberi hadiah tempat ketiga tetapi tidak dipersetujui panel juri lain.

Andre hanya mengetahui hal itu ketika bertemu Puan Sri Saloma yang menyingkap kisah sebalik tabir pertandingan akhir tersebut, beberapa tahun selepas P Ramlee meninggal dunia pada 1973.

“Saloma ini seorang yang sangat baik. Dia tidak suka bercerita yang tak baik pasal orang lain. Suatu hari, dia cerita pada saya sebenarnya P Ramlee mahu beri saya tempat ketiga tetapi juri lain tidak setuju.

Penyanyi lagu Melayu asli Datuk Andre Goh ketika diwawancara Media Selangor di pusat beli-belah Pandan Kapital, Pandan Indah, Ampang pada 17 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya jawab, tidak mengapa sebab layak ke akhir pun dah cukup besar. Seorang budak ceruk Kampung Sialang masuk televisyen dah cukup bangga,” katanya.

Meski tidak meraih sebarang kedudukan, ia cukup untuk Andre melonjakkan karier seni sebagai bukan Melayu yang giat melantunkan lagu-lagu Melayu asli.

Selain P Ramlee dan Saloma, penyanyi lagu Melayu asli seangkatan pada zaman itu antaranya Kamariah Noor, Rosiah Chik, Aspalela Abdullah, Hamzah Dolmat dan Tan Sri SM Salim.

“Mereka tak kaya sebab nyanyi lagu asli, tidak boleh kaya tetapi merekalah menghidupkan lagu Melayu asli. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini seorang demi seorang meninggal dunia.

“Kalau beginilah, suatu hari nanti lagu Melayu asli akan pupus. Saya tidak tolak lagu moden tetapi jangan ketepi khazanah kita kerana inilah identiti kita,” katanya.

Merantau

Andre merantau ke Kuala Lumpur buat pertama kali pada 1967 untuk bekerja di sebuah syarikat pembinaan.

Namun, beliau berpindah ke Johor Bahru pada tahun berikutnya sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 1969 apabila mendapat tawaran kerja di Jabatan Telekom Malaysia (JTM) dengan gaji permulaan RM170.

Selepas melapor diri, Andre tidak ada tempat tinggal dan terpaksa menumpang bilik sewa salah seorang kakitangan JTM. Namun, kerana saiz agak kecil, beliau tidur berlapik tikar umbai di bawah meja sebelum menyewa bilik lain.

Di situlah perjalanan karier seninya bermula. Pada 1972, selepas beberapa kali dicabar rakan sebilik iaitu Micheal Leo yang bekerja sebagai jurufoto Jabatan Penerangan, Andre mencuba nasib dalam pertandingan Bakat TV RTM.

“Banyak kali dia cabar saya tetapi saya tidak yakin. Saya cakap pada dia kalau ‘lu’ bawa borang baru ‘gua’ masuk. Sebenarnya saya tidak yakin dia dapat borang.

“Sekali, esoknya betul-betul dia bawa balik borang uji bakat Bakat TV. ‘Lu’ dah janji nak masuk kalau ‘gua’ bawa balik borang. Sekarang ‘lu’ kena masuk,” katanya mengimbau perbualan yang menjadi detik awal pembabitan dalam bidang nyanyian. Panggilan ‘lu’ dan ‘gua’ kata ganti diri yang lazim digunakan Peranakan Baba.

Sejak memulakan kerjaya seni pada 1973, Andre merakam tujuh album dengan syarikat rakaman Great Union sebelum dilamar syarikat rakaman Swiss Record.

Sebagai satu-satunya artis bukan Melayu yang menyanyi lagu Melayu Asli, RTM menawarkan program televisyen 20 siri dikenali sebagai ‘Andre Goh’ atas permintaan Menteri Penerangan ketika itu Tun Muhammad Ghazali Shafie.

Walau menerima bayaran rendah RM50 bagi setiap siri, beliau menerima tawaran tersebut kerana menganggapnya sebagai peluang terbaik mengembangkan bakat seni.

Dalam menjayakan rakaman 20 siri itu, beliau berdepan hambatan masa berikutan kerap bertembung jadual pertunjukan pentas selain terikat dengan pekerjaan tetap di JTM. Justeru, beliau jarang ada cukup masa untuk berehat.

“Salah seorang kawan saya, masa itu dia kerja di pejabat pos. Dia ajak saya berhenti. Saya cakap aku tidak boleh berhenti. Kau tidak apalah, kau nyanyi lagu pop, lagu boleh cari makan. Aku nyanyi lagu ‘Tok Adam’ dulu-dulu yang orang pun tak tahu,” katanya merujuk perbualan dengan penyanyi terkenal DJ Dave.

Walaupun pekerjaan di JTM menyukarkannya untuk memenuhi undangan nyanyian, Andre terus berkhidmat sehingga usia 50 tahun. Jawatan terakhir beliau ialah pegawai kebudayaan.

Seperti kebanyakan artis, beliau juga tidak terhindar dari pengalaman pahit. Sepanjang bergelar penyanyi, beberapa kali beliau ditipu penganjur yang lari dan tidak melunaskan bayaran yang dijanjikan meski kadarnya sekitar RM200 hingga RM300.

Andre juga berhadapan dengan pengalaman segelintir artis yang tidak senang melihatnya kerap muncul di kaca televisyen. Walau terguris, Andre tidak pernah membalas sindirian tersebut.

Pun begitu, kenangan manis tidak kurang jua. Paling diingatinya, persembahan untuk kempen pilihan raya di kawasan pedalaman Sungai Tembeling, Pahang. Kedudukan pentas di tepi sungai mengakibatkan banyak kelekatu berterbangan mengerumuni lampu di pentas.

“Bila buka mulut untuk menyanyi, beberapa kali kelekatu masuk mulut hingga mengganggu persembahan,” katanya sambil tertawa.

Selain itu, beliau juga terpilih antara enam artis tempatan untuk mewakili negara dalam program Radio and TV Artist Exchange yang membabitkan lima negara Asia Tenggara.

Dalam program lima minggu itu, Andre bersama Datuk Sharifah Aini, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Hail Amir dan Rahim Othman dibawa ke Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura menerima layanan sebagai orang kenamaan.

Beliau turut menyifatkan persembahan di Istana Budaya dalam Konsert Rentak Kita bersama Orkestra Tradisional Malaysia pada Januari 2022 sebagai kenangan terindah.

Kini, pada usia lanjut, penerima anugerah Pendokong Seni Negara 2006 tetap mahu menyumbang tenaga dan idea untuk mengangkat martabat lagu Melayu asli.

Beliau sedia membantu mana-mana stesen berminat menganjurkan program televisyen realiti yang menyelitkan lagu genre itu. Sedikit pun Andre tidak keberatan jika diminta terlibat dalam program mencari bakat seperti Akademi Fantasia.

Bahkan, beliau turut mencadangkan peserta rancangan realiti itu diberi syarat wajib menyanyikan sebuah lagu Melayu asli. Andre juga berharap rancangan televisyen lebih rancak memaparkan seni kebudayaan termasuk lagu Melayu asli meskipun di luar waktu puncak.

Penyanyi lagu Melayu asli Datuk Andre Goh ketika diwawancara Media Selangor di pusat beli-belah Pandan Kapital, Pandan Indah, Ampang pada 17 Januari 2023 Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Keluarga seni

Keluarga Andre berasal dari Pantai Belimbing, Durian Tunggal, Melaka. Namun, beberapa hari selepas dilahirkan, mereka berpindah ke Kampung Sialang, Tangkak, Johor.

Bapanya kemudian membuka kedai kopi sebelum berkhidmat dengan kerajaan antaranya berperanan untuk mengawal bekalan makanan supaya tidak jatuh ke tangan komunis.

Sebagai satu-satunya keluarga Baba Peranakan, ibu bapanya cukup dikenali di kampung itu. Mereka dipanggil Baba Tiam dan ibunya Mak Encum.

Anak kelima daripada 15 beradik itu juga masih ingat, ketika kecil, orang kampung kerap bertandang ke rumah pada malam hari. Baba Tiam akan memainkan peti nyanyi dengan lagu Melayu asli dan langgam Melayu. Baba Tiam juga mahir berdondang sayang. Beliau kerap dipanggil jika ada keramaian termasuk majlis perkahwinan. Kadang kala majlis berlarutan hingga jam 3 atau 4 pagi. Ibunya juga tidak kurang bakat seni, handal menyusun bait pantun Melayu.

Hubungan keluarga Andre dengan penduduk kampung cukup rapat. Menjelang Tahun Baharu Cina, Mak Encum sibuk membuat bermacam-macam kuih tradisional antaranya dodol, semperit dan wajik. Sememangnya, tradisi makanan mereka lebih banyak pengaruh Melayu.

Mereka juga tidak mengadakan acara makan besar Tahun Baharu Cina sebaliknya mereka meraikannya dengan menyambut ‘kepala tahun’ dengan memakai pakaian baharu pada hari pertama tahun baharu.

Menjelang perayaan itu, Mak Encum akan menjahit pakaian baharu untuk anak-anak. Andre juga gemar memasang pelita tujuh likur di sekeliling rumah menjelang sambutan tersebut.

 


Pengarang :