SELAYANG, 2 FEB: Hampir 3,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima manfaat program Jualan Ehsan Rakyat 2.0 yang dianjurkan sejak pertengahan bulan lalu.
Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata jumlah berkenaan melibatkan penganjuran program di lima lokasi berasingan.
“Sebagai usaha membantu penduduk, kita akan pastikan jualan berlangsung dua kali setiap minggu supaya mereka mudah mendapat barangan pada harga murah.

“Kita utamakan kawasan kediaman penduduk berpendapatan rendah selain permintaan daripada ketua kampung atau lokaliti dan ahli majlis. Sebolehnya kita mahu semua penduduk dapat peluang beli barangan murah ini,” katanya kepada SelangorKini.
Hari ini jualan kali ke lima kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor berlangsung di Kampung Wira Damai di sini dari 9.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Bermula 16 Januari, Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif jualan murah selama tiga bulan sehingga Mac depan bagi meringankan beban belanja penduduk.
Program dengan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).