Majikan berpeluang mendaftarkan pekerja secara sukarela sepanjang Bulan Pemutihan yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 hingga 30 Jun. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Penghantar makanan koma akibat kemalangan terima bayaran Perkeso

SUNGAI BULOH, 28 FEB: Seorang penghantar makanan yang terlantar koma Muhamamd Hafizi Idris, 34, hari ini menerima faedah caruman daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas terbabit dalam kemalangan enam bulan lalu.

Faedah bayaran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu, diserahkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar kepada isterinya Norfarahin Jamsari, 25, di Hospital Sungai Buloh.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan faedah itu, Norfarahin berkata pihak Perkeso banyak membantu beliau sepanjang suaminya terlantar di hospital, sejak terbabit dalam kemalangan pada Ogos tahun lalu.

“Dengan adanya SKSPS ini, amat membantu meringankan beban dan terima kasih juga kepada Perkeso yang banyak menolong saya ketika di hospital ini,” katanya di Wad Neurosurgery, Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Norfarahin yang kini berkerja sebagai jurujual berkata suaminya terbabit kemalangan pada 29 Ogos 2022 pada pukul 6.30 petang di Jalan Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

“Muhammad Hafizi sedang dalam perjalanan untuk menghantar makanan kepada pelanggan, ketika terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta.

“Kini suami saya mengalami pendarahan di kepala, patah tangan dan beberapa kecederaan lain dan saya amat berharap dia cepat sembuh, serta dapat membawanya pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata sejak 30 Ogos 2022, pihak Hafizi telah menerima jumlah bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara lebih RM7,000.

“Faedah kewangan ini, saya harap dapat membantu isteri beliau menguruskan perbelanjaan diri dan rumah tangga, sejak Hafizi terlantar di hospital. Selain itu, Perkeso akan menanggung kos rawatan perubatan dan juga peralatan pemulihan seperti ripple matress, lampin pakai buang dan lain-lain lagi,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa dalam tahun 2022, seramai 1,509 pekerja ekonomi gig di bawah perlindungan SKSPS, terlibat dalam kemalangan dan 32 daripadanya maut.

“Perkeso menganggarkan sebanyak 125 kes tuntutan pekerja gig ditolak. Antara sebabnya ialah kerana tidak memperbaharui caruman atau langsung tidak mencarum di bawah SKSPS.

“Saya difahamkan ramai yang orang bekerja sendiri masih gagal membuat caruman serta memperbaharui caruman tahunan SKSPS,” katanya.

Sivakumar berkata mengikut Perbadanan Ekonomi digital Malaysia (MDEC) jumlah pekerja gig di seluruh negara dianggarkan seramai 1.12 juta orang.

Setakat 31 Dis 2022, hanya 374,906 atau 33.5 peratus sahaja pekerja GIG yang telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS, Perkeso.

-BERNAMA


Pengarang :