Nor Fatin Nabila Abdul Karim, 32 di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, Petaling Jaya pada 1 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengunjung puji penganjuran jualan murah makin baik, mesra OKU

OLEH DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 1 FEB: Penganjuran program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dilihat semakin baik dan mesra orang kurang upaya (OKU).

Nor Fatin Nabila Abdul Karim, 32, yang juga cacat penglihatan berkata penganjur terus membenarkan beliau membeli barangan keperluan tanpa perlu beratur.

“Walaupun ditemani ibu membeli barangan, saya bersyukur kerana penganjur prihatin dengan golongan OKU. Jualan murah ini amat membantu golongan berpendapatan rendah dan isi rumah ramai seperti saya berjimat.

“Jadi bila penganjur mesra OKU saya selesa beli barangan di sini walaupun lokasi 10 kilometer (km) dari rumah,” katanya ketika ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, di sini hari ini.

Nor Rubaila Razali,36 di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, Petaling Jaya pada 1 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pesara, Nordin Kamil, 63 yang sudah enam kali mengikuti jualan murah itu berkata amat berpuas hati dengan penambahbaikan dilakukan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Biarpun barisan panjang tapi saya tak kisah beratur kerana penganjur cekap dan giliran menunggu tak lama.

“Apa salahnya beratur kerana pihak penganjur sudah berusaha beri perkhidmatan terbaik kerana urusan jual beli tidak ambil masa yang lama,” katanya yang turut membeli lima kampit beras untuk anak-anaknya.

Sementara suri rumah Nor Lelawati Mohd Harnordin, 38, berkata program JER wajar diteruskan kerana membantu menjimatkan perbelanjaan dan menawarkan barangan berkualiti pada harga murah.

“Saya amat berpuas hati beli barangan di sini. Walaupun murah tapi kualiti setanding pasar raya. Hari ini saya dapat beli pelbagai barangan dengan harga RM70. Kalau dekat luar tak dapat beli ayam, daging, ikan, minyak, telur dan beras pada harga begini,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan di Dataran Desa Sepakat, Petaling Jaya pada 1 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Nor Rubaila Razali 36, sentiasa tertunggu-tunggu jualan murah itu dianjurkan di DUN Taman Medan.

Suri rumah itu berkata barangan dapur yang dibeli menerusi program itu banyak membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarganya.

“Ini kali keempat saya ikuti program ini. Memang saya sentiasa tunggu penganjuran kerana dapat jimatkan belanja kerana hanya suami yang bekerja.

“Dengan RM50 saya dapat beli barangan makanan untuk keperluan seminggu. Dekat luar tak dapat beli dengan harga begini,” katanya yang mempunyai empat orang anak.

Program jualan murah kendalian PKPS itu menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10). Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :