Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring dan Derma Darah di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Skim perubatan untuk B40 contohi inisiatif Selangor satu penghargaan

GOMBAK, 26 FEB: Hasrat kerajaan persekutuan mewujudkan Skim Perubatan Madani dengan mencontohi skim kesihatan Selangor disifatkan sebagai satu penghargaan buat Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan memberi peluang kepada golongan B40 untuk mendapat rawatan di hospital swasta tanpa perlu bersesak di hospital awam.

“Isu selalu timbul di hospital awam adalah kesesakan dan memang kerajaan akan pertingkatkan mutu perkhidmatan itu tetapi ini sudah tentu mengambil masa.

“Dalam tempoh perbaiki itu mungkin akan ada kelahiran baharu dan pertambahan penduduk berlaku, jadi ini adalah salah satu solusi untuk galakkan rakyat ke hospital atau klinik swasta dengan subsidi disediakan kerajaan.

“Pada masa sama, hospital atau klinik swasta ini akhirnya membantu kurangkan kesesakan di hospital awam walaupun kerajaan perlu belanja dengan wang sangat besar demi menjamin kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Laman Herba di pusat khidmat masyarakat DUN Hulu Kelang di sini semalam.

Pada 24 Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2023 mengumumkan pelaksanaan Skim Perubatan Madani diperingkat nasional seperti yang dilaksana Kerajaan Selangor.

Skim dengan peruntukan RM120 juta memberi peluang golongan B40 berjumpa dengan Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.


Pengarang :