Sebahagian peserta dengan hadiah dimenangi dalam pertandingan terbesar sukan papan selaju Grind 8 anjuran Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor di Extreme Park, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto PEMADAM SELANGOR
AGENDANASIONAL

Bina sembilan gelanggang papan selaju, penuhi keperluan penggiat sukan

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor membina sembilan kemudahan gelanggang papan selaju di beberapa lokasi bagi memenuhi permintaan penggiat sukan itu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kemudahan yang dibangun dan dinaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai menyokong perkembangan sukan itu.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong perkembangan dan penggiat sukan itu dengan menyediakan dan menaik taraf kemudahan sukan ini.

“Pembinaan gelanggang papan selaju ini meliputi beberapa lokasi yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Lokasi gelanggang papan selaju meliputi Taman Sukan Lasak Seksyen 13, Shah Alam; Arena MBPJ Skatepark, USJ 11 Subang Jaya; Taman Serdang Jaya Seri Kembangan dan Taman Belia @ Youth Park, BBST Skate Park.

Turut disediakan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Klang, Skate Park Andalas, Klang; AU5, Taman Lembah Keramat; Padang Taman Awam Kencana Indah, Taman Pandan Indah; Taman Sri Gombak dan Skate Park Dataran Banting.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata tiada program pembangunan khusus bagi sukan papan selaju berikutan ia bukan acara tumpuan dan berprestasi tinggi di Selangor mahupun kebangsaan.

Beliau berkata kejohanan besar seperti Sukan Sea dan Sukan Asia, Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan acara berkenaan dalam kategori C, dengan semua peruntukan serta pembiayaan ditanggung sepenuhnya persatuan sukan kebangsaan.

“Berbanding sukan dikategorikan di peringkat A, ia sepenuhnya ditanggung MSN dan Majlis Olimpik Malaysia manakala kategori B sebahagiannya ditanggung MSN dan Majlis Olimpik Malaysia dan sebahagian lagi persatuan sukan kebangsaan,” katanya.


Pengarang :