Petugas PKPS bersama petugas DUN membuat persiadian sebelum bermulanya jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di Dewan Taman Permata, Hulu Kelang pada 9 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Daging, ayam paling laris dalam jualan murah DUN Hulu Kelang

AMPANG JAYA, 9 MAC: Daging, ayam dan ikan antara barangan asas paling laris dibeli oleh pengunjung dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang hari ini.

Pengurus Teknologi Maklumat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata tiga barangan tersebut habis dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka pada jam 10 pagi.

“Daging habis dalam masa sejam selepas jualan mula. Manakala telur dan beras barang paling lambat habis tidak seperti kebiasaan telur jadi rebutan pengunjung.

“Memandangkan Ramadan akan tiba tidak lama lagi, mungkin orang ramai beli daging untuk stok awal,” kata Wahyunah Marzuki ketika ditemui di Dewan Taman Permata, Jalan Permata 4 di sini.

Dalam pada itu, Wahyunah memberitahu PKPS menyediakan beg plastik untuk barangan basah bagaimanapun, pengunjung dikenakan caj 20 sen sekiranya mahu menggunakan beg berkenaan.

Program kendalian PKPS itu menyediakan 500 ekor ayam, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 pek ikan, 300 kampit beras dan 150 botol minyak masak.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :