Empat pelajar tingkatan lima Bait Al- Hasanah Lembaga Zakat Selangor (LZS ) menunjukkan pingat yang dimenangi pada Anugerah Inovasi Remaja Asia 2023 sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Empat pelajar Bait Al-Hasanah LZS raih pingat perak anugerah inovasi asia

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 23 MAC: Empat pelajar tingkatan lima Bait Al- Hasanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraih pingat perak pada Anugerah Inovasi Remaja Asia 2023 sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE), baru-baru ini.

LZS menerusi Facebook berkata pengiktirafan itu diberi atas kejayaan pelajar berkenaan mencipta penghalau semut dan serangga kecil seperti lalat dan lipas daripada mendekati makanan haiwan peliharaan.

Menurut agensi itu, idea menghasilkan produk berkenaan tercetus apabila mereka dapati makanan kucing di rumah kucing seliaan pelajar di asrama sering dimakan semut setelah ditinggalkan semalaman.

“Aktiviti ini dijalankan sebagai komponen dalam Modul Kecemerlangan Bait Al-Hasanah elemen kaedah pembelajaran abad alaf 21.

“Produk ini mendapat reaksi positif dan pengunjung ekspo minta ia dipasarkan,” kata LZS.

Produk menggunakan 100 peratus bahan organik itu selamat untuk haiwan peliharaan dan manusia akan dipasarkan selepas melepasi tahap kualiti piawaian pembuatan.

“Semoga pendedahan aktiviti anak-anak asnaf di peringkat antarabangasa akan membuka minda dan pemangkin kejayaan mereka di masa hadapan,” katanya.

Pertandingan itu menarik penyertaan daripada negara Asean seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan lain-lain.


Pengarang :