Pemain Skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Januari 2023.
AGENDASUKANKINI

RM1 daripada penjualan tiket disumbang untuk pemuliharaan harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Bukan sekadar nama! Pasukan bola sepak kebangsaan mengambil langkah serius dalam usaha pemuliharaan harimau Malaya, apabila menetapkan RM1 daripada penjualan setiap tiket perlawanan disumbangkan untuk haiwan berkenaan.

Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan bersama, berkata kedua-dua belah pihak berganding bahu dalam usaha memerangi kepupusan harimau Malaya dengan menyokong usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha biodiversiti.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negara itu pada Selasa lepas, bersetuju untuk memberikan sumbangan RM1 daripada setiap tiket pasukan kebangsaan yang terjual kepada KBS untuk tujuan itu.

“Ini adalah satu misi FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan harimau Malaya di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru semua pihak yang meminati bola sepak, turut menunjukkan semangat sama dalam pemeliharaan harimau Malaya dan ia selari dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan.

“Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bola sepak kebangsaan. Kita tidak mahu suatu hari nanti, harimau tinggal maskot atau pun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.

“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya,” katanya.

Hannah berkata usaha itu dilihat sebagai satu pendekatan inovatif dan terangkum melibatkan sukan popular bola sepak sebagai penyelamat harimau Malaya.

KBS dan FAM berkata populasi harimau liar di Malaysia telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada 1970-an kepada kurang 150 ekor kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.

“Harimau ialah satu indikator yang penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita bagi kesejahteraan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup kita semua.

“Sudah tiba masa usaha pemuliharaan ini mendapat sokongan semua pihak, maka KBS dan FAM telah mengambil langkah untuk membantu dalam pemuliharaan harimau,” menurut kenyataan bersama itu.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan malam ini dan Hong Kong pada Selasa depan (28 Mac) dan kedua-dua aksi berkenaan berlangsung pada 10 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

– BERNAMA


Pengarang :