EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Inisiatif bantuan makanan berkhasiat manfaat 2,800 kanak-kanak tahun ini

SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 2,800 kanak-kanak akan menerima manfaat menerusi inisiatif bantuan  makanan berkhasiat iaitu Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) tahun ini.

EXCO kesihatan awam berkata menerusi agenda Iltizam Selangor Sihat, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi pelaksanaan program itu tahun ini.

“Seramai 50 penerima bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor diperuntukkan untuk pemberian pek permulaan ASAS.

“Selain itu turut dianjurkan adalah Karnival ASAS di sembilan daerah yang mana melaluinya penerima manfaat termasuk ibu bapa dan penjaga akan diberikan pendedahan kepada penyediaan makanan berkhasiat pada harga berpatutan oleh tukang masak yang diiktiraf.

“Selain itu, 56 pusat ASAS akan ditubuhkan di DUN sebagai tempat untuk aktiviti pemantauan dan memastikan kelestarian program ini dalam jangka masa panjang,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha, Dr Siti Mariah berkata pemantauan Sukarelawan Kesihatan Komuniti (SUKA) akan dilibatkan untuk mengambil data berkaitan tinggi dan berat penerima manfaat selain turut memantau penyediaan makanan.

“Kanak-kanak yang terlibat juga diberikan akses kepada pakar pemakanan dan pakar perubatan bagi mengambil analisa tentang keadaan semasa penerima dari segi berat, tinggi dan cara pemakanan,” katanya.


Pengarang :