Keadaan pekan Parit Sulong, Batu Pahat yang masih digenangi banjir termenung ketika tinjauan pada 9 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah di Johor naik sedikit pagi ini, Batu Pahat paling teruk terjejas

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seramai 45,489 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri, dengan Johor kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi setakat 8 pagi ini.

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir kembali meningkat kepada 44,937 orang pagi ini, berbanding 43,667 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi, dengan pertambahan mangsa dicatatkan di daerah Batu Pahat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan seramai 12,730 keluarga masih ditempatkan di 172 PPS yang beroperasi di lima daerah.

Menurut JPBN, Batu Pahat terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa adalah seramai 39,737 orang, diikuti Muar (2,785), Tangkak (1,662), Segamat (706) dan Mersing (47).

Sebanyak lapan sungai masih melepasi aras bahaya antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.70 meter (m);  Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.33 m dan Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat) 3.53 m.

Di MELAKA, jumlah mangsa di Jasin menurun kepada 380 orang daripada 99 keluarga pagi ini berbanding 438 orang daripada 115 keluarga pada malam tadi dan masih ditempatkan di lima PPS.

JPBN memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat menempatkan seramai 25 mangsa, SK Parit Penghulu (122), SK Parit Gantong (30),  SK Batu Gajah (167) dan SK Sungai Rambai (36).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 172 orang daripada 61 keluarga dengan seramai  62 mangsa ditempatkan di SK Kampung Aur manakala 110 mangsa lagi di SK Leban Chondong.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :