Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Karnival kerjaya kembali Mei ini, tawar 30,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 31 MAC: Karnival Kerjaya Mega Selangor kembali lagi pertengahan Mei ini dengan tawaran 30,000 peluang pekerjaan, menurut EXCO pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata karnival itu diadakan dua hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang membabitkan 200 majikan.

“Pelbagai bidang ditawarkan kali ini antaranya sektor pelancongan, pembuatan, perhotelan dan hospitaliti termasuk tidak dilupakan peluang kerjaya untuk orang kurang upaya (OKU).

“Kita akan memaklumkan tarikh sebenar dalam masa terdekat namun semua individu yang sedang mencari pekerjaan boleh bersiap sedia membuat ‘resume’ untuk dibawa ke sana nanti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan karnival kerjaya mega sebelum ini turut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 1,060 peserta berjaya mendapat kerja dalam pelbagai bidang.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 pada 10 dan 11 Disember lalu di Maeps menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat ialah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.


Pengarang :