Pegawai PKM DUN Taman Templer Tarmizi Kamaruddin (tengah) meninjau longkang yang tersumbat bersama wakil Majlis Perbandaran Selayang di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 29 Mac 2023. Foto DUN TAMAN TEMPLER
ADNSELANGOR

Penduduk dinasihat tidak buang sampah dalam longkang, elak tersumbat

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer diminta tidak membuang sampah ke dalam longkang bagi mengelak kemudahan disediakan di kawasan kediaman itu tersumbat atau rosak.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer berkata tindakan segelintir penduduk berbuat demikan menyebabkan longkang di satu laluan Kampung Selayang Baru mengalami kerosakan.

“Sampah yang tersangkut menyebabkan air tidak dapat lalu dengan lancar sehingga longkang tersumbat dan pecah.

“Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sampah merata tempat menyebabkan sistem saliran dan perparitan rosak serta akan menyebabkan bencana lebih teruk seperti banjir selain menyusahkan penduduk sendiri,” kata Tarmizi Kamaruddin.

Beliau menjelaskan pihaknya bersama wakil MPS telah melawat ke lokasi pembuangan sampah menyebabkan longkang rosak di Jalan 37, Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 29 Mac lalu.

Menurutnya, MPS akan mengambil tindakan membaik pulih longkang tersebut serta membaiki beberapa jalan yang rosak di kawasan terbabit.

“Kita berharap orang ramai mengambil berat akan kebersihan dan membuang sampah di kawasan disediakan majlis,” kata Tarmizi.

 


Pengarang :