Azlina Zakaria. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Kempen pulihara tuntung, penyu bantu wanita raih pendapatan ketika PKP

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang dihimpit kesulitan kewangan termasuklah Azlina Zakaria, 50, dari Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu apabila suaminya kehilangan sumber pendapatan.

Suaminya yang bekerja sebagai mekanik di sebuah kedai motosikal di kampung berkenaan terpaksa diberhentikan kerja selama tiga bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berkongsi kisah dengan Bernama, Azlina yang mesra dipanggil Kak Na berkata beliau memang berasa buntu dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa melainkan bergantung kepada wang simpanan yang tidak seberapa untuk kelangsungan hidup.

“Sebelum ini Kak Na ada buat kuih-muih untuk dijual di warung tapi tidak dapat diteruskan sebab pandemik.

“Memang sedih masa itu sebab suami Kak Na pun kadang-kala kerja, kadang-kadang tidak. Anak bongsu pula PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) guna telefon bimbit, barang dapur pun tak berani nak beli banyak sebab kena jimat,” katanya.

Cekal dan tabah, ibu kepada empat orang anak ini akhirnya mampu menjana pendapatan dengan menggunakan mesin jahit yang selama ini tinggal terbiar dan menjadi ‘penyelamat’ buat beliau sekeluarga.

“Syukur Alhamdulilah kerana ketika itu, saya didedahkan dengan aktiviti anjuran Persatuan Pemuliharaan Tuntung Kura-kura dan Penyu Malaysia (TCS) dan mendaftar diri dalam kelas menjahit.

“Di situlah saya belajar menjahit dan pada masa yang sama, menghasilkan kraftangan berasaskan batik Terengganu dan lakaran penyu seperti skaf, seluar palazo, kantung, topeng muka dan dompet kecil,” katanya.

Kini, Kak Na adalah antara 10 wanita yang terlibat secara sepenuh masa dalam projek memperkasakan wanita anjuran TCS, yang mampu menjana pendapatan sehingga RM1,500 untuk satu-satu projek kraftangan untuk dijual di platform dalam talian.

Kraftangan TSC bantu pulihara tuntung

Menurut Kak Na, antara pencapaian paling membanggakan apabila beliau dapat menyiapkan sehingga 100 set topeng muka batik bermotifkan penyu pelbagai warna dalam tempoh lima hari ketika PKP.

Lebih manis lagi, produk hasil tangan beliau dan peserta wanita lain yang menyertai bengkel jahitan juga turut ditempah oleh sebuah syarikat korporat antarabangsa yang berpangkalan di Paris, Perancis.

“Walaupun kami belum sampai lagi ke sana, namun produk Kampung Pasir Gajah yang turut mempromosikan batik Terengganu dan kesedaran pemuliharaan penyu sudah sampai ke luar negara.

“Kami sentiasa menjadikannya sebagai semangat dan motivasi untuk terus menghasilkan lebih banyak produk cenderahati di samping dapat meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.

TCS yang menjalankan program konservasi tuntung sungai di kampung itu sejak tahun 2011, mencetuskan projek pemerkasaan wanita dalam usaha meningkatkan kemahiran seterusnya membantu mereka menjana pendapatan pada tahun 2019.

Diasaskan oleh pakar tuntung dan penyu, Dr Chen Pelf Nyok, projek itu turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Terengganu dan beberapa syarikat korporat, antaranya Yayasan Hasanah dan Yayasan Bank Rakyat.

Menurut Chen, segalanya bermula apabila beliau terlibat dalam kerja penyelidikan tuntung sungai di kampung itu pada tahun 2011 dan bekerjasama dengan penduduk kampung dalam pemuliharaan haiwan akuatik itu daripada pupus.

“Selain bekerjasama dengan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki, kami turut mengadakan program kesedaran tuntung dalam kalangan pelajar dan murid sekolah di sekitar kampung ini.

“Namun, apa yang belum ada ialah program untuk kaum wanita, maka projek pemerkasaan wanita dimulakan pada tahun 2019,” katanya.

Projek berkenaan dimulakan dengan bengkel kemahiran dan hobi seperti membuat losyen dan sabun buku diikuti pula dengan kelas menjahit, selain turut menyumbang kepada projek pemuliharaan tuntung dan penyu.

“Saya belajar dari Youtube cara-cara menghasilkan cenderahati seperti sabun buku dan losyen, kemudiannya mengendalikan kelas untuk berkongsi ilmu agar mereka dapat menjana pendapatan sendiri menerusi majlis perkahwinan atau keramaian di kampung.

“Mereka yang menyertai bengkel kemahiran berpeluang menjana pendapatan menerusi hasil karya mereka yang dihasilkan menerusi kelas menjahit. Mereka ini meletakkan usaha pemuliharaan tuntung di peta dunia, terutama dengan menghasilkan beg dan ‘straw pouch’. Produk ini dijual di pusat peranginan seperti Club Med Cheratingh dan kedai sifar sisa di Kuala Lumpur, ” katanya.

Lebih daripada 30 produk dihasilkan setakat ini, antaranya beg, ‘straw pouches’, lencana penyu, ‘landyard’ dan skaf yang turut dipasarkan melalui platform dalam talian seperti Shopee dan Facebook dengan nama ‘Turtle Tales by TCS’.

Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Penyu Malaysia, Dr Chen Pelf Nyok (kanan) bersama seorang pengunjungnya di Galeri Tuntung, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.

Rapatkan silaturahim

Chen berkata, projek itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu TCS dan kaum wanita di kampung itu dalam menghasilkan produk kesedaran pemuliharaan tuntung dan penyu.

“Oleh kerana TCS adalah badan bukan kerajaan, kami tidak boleh bergantung kepada derma semata-mata, malah kami perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjana pendapatan untuk mencapai objektif dalam memulihara spesies terancam.

Apa yang membuatkan Chen berasa puas ialah apabila melihat senyuman para wanita yang menyertai setiap bengkel yang dianjurkan menerusi projek pemerkasaan itu.

“Sama seperti Kak Na, ramai dalam kalangan peserta sangat gembira apabila mereka menerima ‘gaji’ pertama mereka untuk meringankan beban keluarga akibat kehilangan pekerjaan ketika PKP,” katanya.

Usaha Chen dalam memperkasakan penduduk Kampung Pasir Gajah di samping memulihara spesies tuntung sungai turut membuahkan hasil apabila beliau dilayan seperti keluarga sehinggakan turut dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Malah, Chen juga turut dikenali dengan panggilan ‘Mek Tuntung’ dalam kalangan penduduk kampung tersebut.

“‘Mek’ adalah nama panggilan untuk wanita Terengganu dan Kelantan dan mereka sangat selesa memanggil saya ‘Mek Tuntung’ kerana kami sangat rapat umpama ahli keluarga sendiri.

“Walaupun kami berlainan bangsa dan agama, mereka sangat menerima kehadiran kami ketika mula-mula menjejak kaki ke kampung itu sehinggalah sekarang, saya sangat seronok apabila kembali ke sana untuk kerja-kerja penyelidikan,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Selamatkan tuntung sungai daripada pupus

Sebelum TCS bertapak di Kampung Pasir Gajah untuk penyelidikan spesies tuntung, menurut Chen, penduduk kampung sering mengutip telur tuntung yang ada di kawasan pasir tepi sungai untuk makanan harian mereka.

“Tuntung sungai adalah spesies penyu air tawar yang banyak ditemui di sepanjang Sungai Kemaman dan semakin lama kajian dibuat, saya sedar usaha pemuliharaan perlu dilakukan segera sebelum ia diancam kepupusan.

“Selain menasihati orang ramai supaya tidak menjual atau memakan telur dan daging tuntung sungai, kami turut bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk kampung dari Kampung Pasir Gajah, Kampung Tok Kapor dan Kampung Dadong dalam projek pemuliharaan tuntung sungai,” katanya.

Walaupun tuntung dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Hidupan Liar 2010, namun tindakan manusia, proses pembangunan, pencemaran dan perubahan iklim termasuk banjir besar menjadi penyumbang yang mengancam masa depannya, malah boleh membawa kepada kepupusan.

“Team penyelidikan kami sangat sedih apabila menerusi pemantauan rutin di sungai mendapati perbuatan menahan ‘taut’ oleh segelintir pemancing ikan sebenarnya boleh menyebabkan kepupusan tuntung.

“Taut ialah mata kail yang diikat pada tali pancing dan digantung dari ranting pokok di tepi sungai dan ia lazimnya menggunakan ikan atau perut ayam sebagai umpan,” katanya.

“Amat sayang apabila tuntung yang terperangkap dengan taut adalah jantan iaitu jantina yang amat jarang dalam spesies itu, lebih-lebih lagi ketika musim mengawan iaitu selepas musim monsun iaitu sekitar Februari dan Mac,” katanya.

Menurut Chen, bagi memastikan kelangsungan hidup tuntung sungai, beliau dan penduduk Kampung Pasir Gajah khususnya akan melakukan kerja mengutip telur tuntung untuk dieram dan ditetaskan sebelum anak tuntung dilepaskan ke sungai.

“Kebiasaannya, telur tuntung akan terkumpul di kawasan pasir tepi sungai,” katanya sambil menambah, lebih 4,000 telur berjaya ditetaskan dan dilepaskan sejak tahun 2011.

Chen berkata, telur tuntung mengambil masa tiga bulan untuk menetas dan kebiasaanya akan diadakan acara pelepasan anak tuntung ke sungai secara besar-besaran setiap tahun.

“Setiap tuntung yang kami lepaskan akan dimasukkan mikrocip sebesar sebiji beras di bahagian kaki bertujuan untuk mengesan identiti tuntung tersebut.

“Bila tuntung naik bertelur, kami boleh tahu sama ada tuntung berkenaan adalah tuntung yang kami lepaskan sebelum ini atau sebaliknya dengan membuat imbasan menerusi mikrocip yang berada di kaki mereka,” katanya.

Jelas Chen, taburan tuntung sungai di negara ini hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu dengan sebahagiannya di Sungai Kemaman dan tapak pemuliharaan di Pusat Konservasi Tuntung di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

TCS, katanya, turut membangunkan sebuah pusat penetasan tuntung dan Galeri Tuntung di kampung itu pada tahun 2017 dengan kerjasama Perhilitan Terengganu bagi mendidik orang ramai tentang spesies tuntung dan penyu.

“Galeri ini pada asalnya adalah bilik stor dewan orang ramai Kampung Pasir Gajah dan semua maklumat hasil penyelidikan kami turut akan dipamerkan di galeri ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :