Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,500 jalani saringan percuma di jelajah bantuan rakyat

PETALING JAYA, 12 MAC: Lebih 1,500 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di tujuh daerah sejak Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) membuka tirai pada 18 Februari lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor Saring fasa dua mendapat maklum balas positif sekaligus membuktikan penganjurannya diterima baik.

“Setakat di tujuh lokasi, seramai 1,500 peserta. Bermakna satu lokasi kira-kira 200 lebih yang hadir menjalani saringan dan penambahan skop perkhidmatan iaitu telinga, gigi dan fisioterapi turut mendapat sambutan baik.

“Program saringan ini dapat sambutan dan memang kita anjurkan di bawah supaya lebih ramai rakyat tahu dan semakin ramai datang. Malah, ada daerah lain juga datang seperti tadi dari Shah Alam dan Ampang,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Selangor Saring sempena JKSP daerah Petaling yang diadakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan 2 di sini hari ini.

Tahun lalu Kerajaan Negeri memperkenal Selangor Saring dari Mei hingga September melibatkan peruntukan RM3.4 juta bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat, program itu berjaya memanfaat lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan Selangor Saring di setiap penganjuran JKSP dan pada fasa ini beberapa saringan lain ditambah antaranya pemeriksaan gigi, telinga dan mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :