KUALA LANGAT, 5 MAC: Dato’ Menteri Besar meneruskan Jelajah #KitaSelangor Penyayang di Kuala Langat dengan melawat pasar minggu Pekan Banting dan Pasar Awam Banting pagi ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa selama 30 minit untuk beramah mesra dengan peniaga yang menjual makanan dan keperluan harian selain mendekati pengunjung di situ,
Beliau tiba di pasar minggu Pekan Banting kira-kira jam 9.00 pagi sebelum bergerak ke Pasar Awam Banting yang terletak 100 meter bersebelahan pasar itu 15 minit kemudian.

Rata-rata peniaga dan pengunjung teruja dengan kehadiran Amirudin dan tidak melepaskan peluang untuk berjabat tangan sebelum ke Banting Waterfront untuk merasmikan Jelajah #KitaSelangor Penyayang peringkat Kuala Langat.
Terdahulu, Amirudin membuka tirai jelajah di daerah berkenaan dengan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Kampung Sungai Lang Baru dan mendengar kuliah pagi disampaikan Ustaz Muhammad Naim Sadoon.
Beliau turut berkesempatan bertemu Ketua Kampung Sungai Lang Baru Md Tejri Alias di Lorong Haji Darini di sini sebelum meluangkan masa bersarapan di warung Badir Canai di Kampung Sungai Lang Baru.
