Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menyingkirkan penyandang juara All England, Viktor Axelsen, pada saingan pusingan kedua di Birmingham, pada 16 Mac 2023. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Pemain perseorangan lelaki negara cipta kejutan singkir penyandang juara All England

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta sensasi tersendiri apabila menyingkirkan penyandang juara All England, Viktor Axelsen, pada saingan pusingan kedua di Birmingham, malam tadi.

Pertembungan sulung dengan jaguh dunia dari Denmark di Utilita Arena itu, menyaksikan Tze Yong menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mendahului perlawanan dengan keputusan 21-15.

Bagaimanapun, Axelsen, tidak gusar dengan kekalahan set pertama itu dan menggunakan pengalaman beliau untuk bangkit semula di set kedua dengan kemenangan 21-9, sekali gus mengheret perebutan slot suku akhir ke rubber set.

Pada set penentuan, Tze Yong, 22, mengekalkan rentak permainan dan kekal tenang di sebalik tekanan Alexsen yang cuba bangkit pada penghujung permainan, namun pemain negara itu mampu bertahan dengan kemenangan 23-21.

Tze Yong seterusnya dijadual bertemu pemain China, Li Shi Feng, dalam pusingan suku akhir hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :