Pusat Khidmat Parlimen Ampang menganjurkan progam gunting rambut percuma di Laman Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang Jaya pada 19 Mac 2023. Foto Pusat Khidmat Parlimen Ampang
PBTSELANGOR

Program gunting rambut percuma di Laman Selera MPAJ esok

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 MAC: Pusat Khidmat Parlimen Ampang menganjurkan progam gunting rambut percuma di Laman Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ampang Jaya esok.

Pengurus Koordinator Parlimen Ampang Iliyas Jamil berkata program itu bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Program ini sebenarnya kita buka untuk pelajar sekolah, jika ada kekosongan penduduk Ampang boleh turut serta.

“Kita sediakan lima tukang gunting rambut dan menjangkakan penyertaan 100 hingga 150 orang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Iliyas program itu dianjurkan dengan kerjasama MPAJ.

“MPAJ benarkan kita guna lot kedai yang masih kosong untuk program ini.

“Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dijangka meluangkan masa datang ke program ini pada tengah hari,” katanya.

Laman selera MPAJ yang terletak di Jalan Kunci Air Lama, Ampang Jaya mula dibuka kepada umum 16 Januari lalu.

Premis yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir itu merupakan antara usaha memajukan dan menggalakkan aktiviti komersial usahawan sekitar Ampang Jaya dengan menaik taraf industri makanan dan minuman.

Medan selera serba moden dengan reka bentuk Brutalist seluas 0.71 ekar dibina menerusi peruntukan RM4.6 juta daripada KPKT turut melibatkan pembangunan sebuah Pusat Anaerobic Digester (AD) MPAJ berkeluasan 0.37 ekar.


Pengarang :