EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bersama peserta selepas merasmikan Klinik Asas Sukan Budak Kampung di Padang Bola Sepak Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada 11 Mac 2023. Foto Ihsan Pejabat EXCO
EXCOSELANGOR

Program klinik asas medan cungkil bakat, lahir ahli sukan profesional

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 13 MAC: Program Klinik Asas Sukan Budak Kampung dilihat sebagai medan terbaik Kerajaan Selangor mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu bagi melahirkan atlet profesional dalam kalangan anak negeri.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata program di Padang Bola Sepak Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh itu memfokuskan tiga jenis sukan iaitu bola sepak, sepak takraw dan bola jaring dengan menumpukan penyertaan bermula dari usia 10 hingga 17 tahun.

“Menerusi program dua hari dianjurkan pada Sabtu dan semalam, kita bawa bekas atlet yang pernah harumkan nama Selangor dan Malaysia untuk kendalikan sesi latihan.

“Antaranya adalah Karishma S Loganathan dan Nur Firra Syuhada Hasrin untuk bola jaring; Khalid Ali, Shahrin Majid dan Hardi Jaafar (bola sepak) serta Farhan Adam dan Haziq Hairul Nizam (sepak takraw),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras itu berkata acara yang juga kesinambungan Kejohanan Piala Budak Kampung itu inisiatif Kerajaan Negeri untuk terus mendekati komuniti sukan di peringkat akar umbi.

Katanya, klinik asas sukan yang julung kali diadakan mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 1,000 penyertaan.

Susulan itu Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan menganjurkan beberapa lagi sesi pada tahun ini.


Pengarang :