EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim insurans percuma ditambah baik, kaedah patuh syariah bermula April

SHAH ALAM, 16 MAC: Pelaksanaan program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) berteraskan kaedah patuh syariah dijangka dimulakan bulan depan, maklum EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pelaksanaannya perlu melalui proses perolehan selain tertakluk terma dan syarat perjanjian dengan pembekal perkhidmatan takaful yang dipilih.

“Kerajaan Negeri akan kekal menyediakan pilihan antara kaedah konvensional atau takaful bagi memastikan perlindungan insurans ini dimanfaatkan semua lapisan masyarakat,” katanya hari ini.

Bercakap mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor, beliau berkata negeri juga sentiasa mengambil berat cadangan penambahbaikan program tersebut.

Chang Khim yang juga wakil rakyat Bandar Baru Klang menambah jemputan bagi perkhidmatan takaful diberikan kepada empat syarikat setakat ini untuk menyertai permohonan sebut harga.

Syarikat tersebut ialah Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Etiqa General Takaful Berhad, Takaful Iklas General Berhad dan Takaful Malaysia Berhad.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan sehingga RM10,000, yang ditawarkan kepada enam juta rakyat Selangor berumur dari 30 hari hingga 80 tahun.

 


Pengarang :