Laluan kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan ditutup sepenuhnya pada 2 Mac 2023 susulan mendapan yang berlaku akibat hujan lebat berterusan. Foto Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan
AGENDANASIONAL

Tanah mendap, kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat ditutup

KUANTAN, 2 MAC: Laluan Kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan ditutup sepenuhnya hari ini, ekoran mendapan yang berlaku akibat hujan lebat berterusan semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi memaklumkan penutupan jalan adalah sehingga kerja pembaikan selesai.

“Penutupan jalan dibuat selepas mendapatkan penilaian keselamatan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dan orang ramai dinasihatkan mematuhi tanda arahan yang dipasang di laluan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Bagi laluan alternatif, pengguna jalan raya dari arah Kuantan akan dilencongkan di lampu isyarat Paloh Hinai ke Jalan Batu Balik ke Pekan.

Pengguna dari Segamat pula akan dilencongkan di Muadzam Shah ke Leban Condong di Rompin sebelum ke Nenasi di Pekan.

Pengguna jalan raya boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan bagi mendapatkan maklumat terkini di talian 09-4221 999.

— BERNAMA

 


Pengarang :