Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Umat Islam diseru imarah masjid, surau dengan aktiviti ibadah

SHAH ALAM, 23 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meningatkan semua pihak untuk mematuhi titah sultan yang tidak mahu masjid dan surau dijadikan medan berpolitik.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata masjid dan surau hendaklah dihidupkan dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti ibadah terutama sempena Ramadan.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan untuk berpolitik. Saya menegaskan dan mengingatkan kembali agar semua pihak mematuhi titah Tuanku.

“Pengawasan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” katanya dalam perutusan khas sempena Ramadan.

Pada masa sama, Abdul Aziz turut menyeru umat Islam merebut peluang dan ganjaran dijanjikan Allah SWT di bulan Ramadan yang membawa seribu makna.

“Saya menyeru umat Islam mengambil peluang meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah di sepanjang bulan yang penuh barakah

“Ambil juga peluang menggandakan pahala dengan menunaikan zakat, wakaf serta memperbanyakkan sedekah,” katanya lagi.

Pada 13 Mac, sempena pembukaan sempena Dewan Negeri Selangor ke-14, Sultan Selangor bertitah supaya semua wakil rakyat tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

Titah Baginda, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya.

Tuanku turut menegaskan hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah berlaku.


Pengarang :