PETALING JAYA, 12 MAC: Seorang warga emas bersyukur apabila menerima surat kelulusan pelanjutan tempoh pajakan kediamannya di Seksyen 1, PJ Old Town di sini hari ini.
M Sanadirajah, 65, berkata rumah itu umpama warisan turun-temurun daripada bapanya dan kini beliau berhasrat mewariskan pula kepada anak-anaknya.

“Saya menetap di sini sejak lahir dan memang tidak terfikir untuk jual kerana ini satu-satunya harta berharga peninggalan bapa kepada saya.
“Dulu bapa beli (rumah) lebih kurang RM70,000 sekarang sudah tentu tidak dapat harga begitu lagi, orang kata jual dapat duit tetapi bagi saya biarlah diwariskan kepada anak-anak,” katanya ketika ditemui.

Manakala pesara, P Brigid Jayamani, 63, bersyukur proses memohon lanjutan tempoh pajakan kediamannya di Seksyen 8, Petaling Jaya dipermudah dan mengambil tempoh singkat.
“Saya bersyukur Kerajaan Negeri meluluskan permohonan ini, setidak-tidaknya apabila saya tiada nanti anak boleh terus tinggal di sini, sekarang dua anak saya pun masih tinggal bersama kami.
“Kami suka dan selesa menetap di sini kerana kejiranannya yang harmoni, persekitaran selesa seolah-olah tidak terfikir untuk berpindah, banyak kenangan di sini yang mungkin tak jumpa di tempat lain,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua mereka bersama lima penduduk lain menerima surat kelulusan lanjutan pajakan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 di sini hari ini.