Keadaan di sekitar Empangan Semenyih yang merupakan empangan utama di Lembah Klang. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Empangan Selangor mampu bertahan enam bulan jika panas berterusan

KUALA SELANGOR, 18 MEI: Kapasiti bekalan air di Selangor mampu bertahan sehingga enam bulan jika musim panas berpanjangan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jumlah itu meliputi bekalan di tujuh empangan dengan kesemuanya mencatatkan lebih 95 peratus paras air setakat ini.

“Jika hujan tidak turun kita mampu bertahan antara empat hingga enam bulan. Setakat ini juga ada kapasiti empangan dan yang melimpah.

“Sekarang walaupun El Nino, kita tetap ada terima hujan jadi dapat banyakkan lagi bekalan air,” katanya selepas merasmikan projek Skim Jaminan Air Mentah di tapak Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 di sini hari ini.

Amirudin menambah negeri juga mempunyai bekalan air dari 98 kolam takungan yang mampu bertahan hingga dua bulan jika kapasiti empangan menyusut akibat cuaca panas.

“Ini semua langkah penyelesaian yang bakal diambil kalau berlaku masalah kekeringan. Kita akan sedut dan salurkan air dari kolam ke sungai. Inisiatif ini holeh bertahan dua bulan,” katanya.


Pengarang :