Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching beramah mesra dan berdialog bersama pengamal media Perak ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di Rumah Media persatuan itu di Ipoh pada 28 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Isu perlindungan hak cipta hasil kerja pengamal media antara tumpuan KKD

IPOH, 28 MEI: Isu perlindungan hak cipta hasil kerja pengamal media adalah antara yang akan diambil perhatian Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), selain menjaga kebajikan golongan berkenaan, kata menterinya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pada zaman ledakan teknologi kini, terdapat banyak hasil kerja pengamal media, termasuk gambar dan artikel, digunakan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran, termasuk kandungan di media sosial.

“Saya terima aduan titik peluh rakan wartawan disalah guna, ada (gambar) yang tera air (watermark) dibuang. Ada kewajaran untuk kita adakan satu perbincangan dengan penyedia platform media sosial bagi mengekang isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di Rumah Kelab persatuan itu di sini hari ini. Turut hadir timbalannya Teo Nie Ching serta Presiden PPMP Sayed Hesham Syed Idris.

Sementara itu, isu kebajikan pengamal media seperti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), juga akan dibawa kepada perbincangan dengan organisasi media dan pihak berkaitan.

Fahmi berkata ketersambungan Internet dan ruang kerja untuk kemudahan media juga akan dibincangkan bersama dengan kerajaan negeri, kelab media setiap negeri dan agensi terlibat.

“Saya harap dengan adanya libat urus dengan kelab media setiap negeri, kita akan dapat kumpulkan lebih banyak input supaya kita dapat kenal pasti kekangan dan cabaran yang dihadapi media ketika menjalankan tugas,” katanya.

Beliau seterusnya mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada PPMP untuk menaik taraf kemudahan di rumah media persatuan itu.

“Harapan saya dengan adanya Rumah Media Perak ini, selain memberi ruang untuk bekerja, ia juga dapat menjadi pusat berkumpul untuk aktiviti dari semasa ke semasa.

“Saya juga berharap dapat dikumpulkan aduan, cadangan dan pandangan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan dari segi itu hubungan kerja yang sihat dapat kita pupuk, akhirnya manfaatnya adalah kepada rakyat Perak sendiri,” katanya.

Terdahulu Fahmi dan Teo meluangkan masa hampir sejam beramah-mesra dengan hampir 100 pengamal media Perak.

– BERNAMA


Pengarang :