Kumpulan Dolla selepas membuat persembahan dalam separuh akhir Muzik-Muzik ke-37 di Sri Pentas pada 26 November 2022. Foto Facebook Dolla
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Dolla tampil berbeza, dipuji penggiat muzik K-pop

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Tidak sedikit kumpulan genre muzik Malaysia Pop atau M-pop, aliran muzik mirip K-pop, muncul mutakhir ini. Namun, tidak semua mampu mencipta tarikan seperti Dolla.

Dianggotai Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam), Angel (Angelina Chai Ka Ying) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), mereka menampilkan identiti M-pop sejak kemunculannya pada 2019.

Dolla mula meniti di bibir peminat menerusi lagu Watch Me Glow pada 2020. Setahun kemudian, Raya Raya Raya dendangan mereka menjadi siulan musim lebaran.

Dua lagu malar segar berlainan genre itu membuktikan kumpulan penyanyi wanita itu berada pada kelas tersendiri dalam arena seni. Mereka berani bereksperimen dalam muzik.

Antara lagu genre lain nyanyian mereka yang sohor ialah balada seperti Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat dan Sudi.

“Malaysia pernah mempunyai penyanyi wanita berkumpulan yang hebat seperti Feminin dan Elite. Mereka adalah kumpulan yang selalu menjadi inspirasi kami.

“Kami berharap agar khalayak dapat menerima perjuangan kami,” kata Syasya ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Dolla juga mencipta kejayaan tahun ini apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia membuat persembahan di festival muzik Korea Selatan terbesar Asia Tenggara iaitu Seen Festival di Kuala Lumpur.

Mereka beraksi bersama kumpulan Korea yang lain seperti NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE pada 23 Januari.

Penggiat-penggiat muzik Korea Selatan memuji vokal serta tarian yang dipersembahkan Dolla ketika festival berkenaan.

“Mereka (tenaga kerja) Korea Selatan merasakan muzik Dolla bagus. Kami sangat berbesar hati kerana berjaya mencuri perhatian mereka.

“Mereka juga menyukai lagu kami. Mereka merakam video di Instagram sedang melayan lagu-lagu Dolla. Besar harapan agar peluang untuk kami bekerjasama dengan mereka pada masa depan,” kata Angel.

Kumpulan Dolla ketika ketika Festival Music Universal pada 19 Mei 2023. Foto Facebook Dolla

Konsep Y2K

Bagi memecahkan hiatus muzik mereka, Dolla tampil dengan lagu baharu menerusi konsep Y2K yang lebih segar berbanding album sebelumnya.

Konsep itu menampilkan paduan gaya retro dan penuh warna-warni memberikan aura muda kepada Dolla, sesuai dengan tema lagunya bertajuk Look At This.

Asalnya, lagu itu berbahasa Inggeris gubahan seorang komposer Sweden. Kemudian ia diterjemah dengan bantuan penyanyi Yonnyboii dan Asyraf Nasir.

“Look At This menceritakan tentang keyakinan terhadap penampilan dan bakat yang kita miliki tanpa memerlukan validasi daripada orang lain.

“Kita yakin menjadi diri kita tanpa memerlukan pengiktirafan daripada orang lain,” kata Sabronzo.

Pada masa sama, Dolla juga menghasilkan album yang mempertaruhkan muzik lebih segar pada hujung tahun ini.

“Secara jujurnya, Dolla lebih banyak menerima pujian dan komen positif daripada pendengar mengenai muzik kami.

“Mereka suka melihat sesuatu yang baharu. Komen-komen peminat menjadi suntikan motivasi untuk kami bekerja lebih keras.

“Sekarang kami sedang giat menghasilkan sebuah album yang sangat berbeza daripada muzik kami sebelumnya. Ada banyak kejutan,” kata Tabby.


Pengarang :