Alat muzik tradisional Cak Lempong antara yang digunakan bagi menjayakan Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan yang diadakan di Auditorium Raja Melewar, Kuala Pilah pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MSU antara tiga IPT jalin kerjasama dengan Istana Budaya beri pendedahan muzik tradisional

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Tiga institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan jalinan kerjasama strategik bersama Istana Budaya menerusi program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds Of Malaysia (SOM).

Tiga IPT itu adalah Management and Science University (MSU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata program Jangkauan OTM: SOM adalah permulaan kepada kempen Gerak yang bertujuan memaparkan keunikan OTM kepada warga kampus sekali gus memberi pendedahan muzik tradisional kepada generasi muda.

“OTM ditubuhkan pada 2010 berperanan menghasilkan identiti kesenian muzik Malaysia yang berbilang kaum untuk bersama-sama menyemarakkan budaya tempatan melalui gabungan pelbagai jenis muzik daripada kaum dan etnik.

“Buat julung kalinya, penglibatan bersama universiti di tanah air ini merupakan inisiatif yang patut diberi galakan bagi menyampaikan ilmu, kemahiran dan pengalaman ahli-ahli OTM dengan mengadakan bengkel muzik tradisional kepada pelajar,” katanya dalam sidang media program tersebut, di sini hari ini.

Zubaidah berkata program itu dilihat sebagai didik hibur yang memberi fokus kepada pengajian muzik dan bukan untuk hiburan semata-mata sekali gus membantu menyemarakkan lagi program kampus yang memberi tumpuan dalam seni pendidikan muzik.

Menerusi program Jangkauan OTM: SOM, aktiviti yang dijalankan adalah MSU Ethnic Music Festival 2023 (METFEST) yang merupakan sebahagian daripada program International Music, Arts & Culture Convention (IMACC) yang bakal diadakan pada 23 dan 24 Mei ini.

“Selain itu, UPSI selaku universiti pendidikan nombor satu negara, menyambut baik kolaborasi ini dengan mengadakan beberapa siri bengkel dan forum seni berkaitan muzik pelbagai budaya di Malaysia pada 24 Jun manakala USIM bakal menganjurkan konsert Alhan Madaniyah pada 11 Nov nanti,” katanya.

Beliau berkata Istana Budaya turut mengalu-alukan kerjasama daripada seluruh jabatan dan agensi kerajaan dalam memperkasakan seni persembahan kerana Istana Budaya merupakan Pusat Kecemerlangan (COE) dalam Seni Persembahan.

“Bukan sahaja memartabatkan seni budaya, saya berharap program ini mampu menjadi satu jalinan kerjasama berterusan pada masa akan datang selain memberikan khidmat kepakaran muzik kepada rakan strategik malah pelajar juga dapat memanfaatkan pengalaman ini sebagai satu peluang dalam menggarap ilmu seni muzik tradisional Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Konduktor OTM dan selaku Pengarah Muzik Yazid Zakaria berkata pihaknya juga akan mengadakan siri bengkel melalui program Mentor-mentee dan kemuncak program ini adalah persembahan bersama antara pelajar dan pemuzik OTM.

“Tujuannya adalah untuk kita membawa muzik tradisional ini ke universiti sebagai usaha meneruskan warisan selain mencari dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda,” katanya. – BERNAMA

 


Pengarang :