Pasukan SUKA DUN Bukit Melawati sedang melakukan pemeriksaan ke atas pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat di Surau Al-Falah Taman Sirambai Kuala Selangor di sini pada 17 Mei 2023. Foto SITI ROHAIZAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Saringan kesihatan percuma di program jualan murah DUN Bukit Melawati

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (SUKA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Surau Al-Falah, Taman Sirambai di sini.

Koordinatornya Normanis Abd Rahman berkata seramai 10 sukarelawan ditugaskan di lokasi untuk melakukan saringan kesihatan secara percuma, berkongsi tip kesihatan dan panduan pemakanan kepada pengunjung.

“Setiap kali diperlukan dan dipanggil pasukan SUKA akan datang untuk buat pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung dan sepanjang Aidilfitri, ini merupakan kali ketiga kami sertai program jualan Kerajaan Negeri.

“Setakat ini, sambutan diterima daripada penduduk amat menggalakkan dengan lebih 70 individu hadir menjalani pemeriksaan kencing manis dan darah tinggi sejak jam 9.30 pagi,” katanya ditemui pada program tersebut.

Menurut Normanis petugas juga mengingatkan pengunjung khususnya warga emas agar mengambil ubat mengikut waktu ditetapkan.

“Sukarelawan bukan doktor tetapi berbekalkan kursus dan latihan, kami beri nasihat dan sentiasa ingatkan mereka kepentingan mengambil ubat mengikut waktu ditetapkan.

“Hasrat kita mahu bantu masyarakat dalam komuniti supaya mereka menjalani kehidupan dengan lebih sihat,” katanya.

SUKA dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ogos 2021, terbuka kepada warganegara menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Disertai lebih 1,800 individu, SUKA anjuran Kerajaan Negeri merangkumi keseluruhan ahli di 56 DUN menjalankan aktiviti kesihatan awam terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Program memperuntukkan belanja RM1.2 juta dan setiap DUN menerima RM18,000 bagi membolehkan aktiviti bermanfaat berjalan dan sukarelawan diberi latihan serta kursus berkaitan modul bersesuaian.


Pengarang :