SHAH ALAM, 21 MEI: Hari kedua majlis Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terus mendapat sambutan dengan dihadiri lebih 1,000 peserta.
Syarahan sempena Festival Turath Islami Selangor yang dianjur sehingga 25 Mei turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.
Kitab Ihya’ Ulumuddin dikupas bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah dalam bahasa Arab yang diterjemah oleh Ustaz Noorazam Bahador dan Faiz Fateh.
Hari ini, tokoh ulama antarabangsa berkenaan mengupas rahsia menunaikan zakat dan kepentingan berpuasa bagi umat Islam.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri hadir ke program yang merupakan salah satu acara Festival Turath Islami Selangor yang dianjur bagi mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab tersebut.
Festival kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.
Dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), festival ini menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.