BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari menu tradisi ke barat, 10 lokasi sarapan di Selangor wajib cuba

Sebulan berhari raya bersama lemang dan ketupat pasti membuatkan anda merindui suasana bersarapan dengan tenang dan santai. Tourism Selangor menyenaraikan 10 lokasi menarik, sesuai cita rasa anda.

1. Kopitiam 143, Ampang Jaya

Kopitiam 143 menyajikan hidangan sarapan tradisional seperti telur separuh masak, mi wantan, roti bakar arang dan masakan Asia yang lazat.

Dibuka dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap hari kecuali Selasa, pelanggan hanya dibenarkan makanan di kedai sahaja untuk mengekalkan kualiti dan hidangan yang baru dimasak.

2. Kueh@Seksyen 13, Shah Alam

Kueh@Seksyen 13 menawarkan lebih 40 jenis kuih-muih tempatan yang dibuat setiap hari. Kafe ini dibuka dari 10 pagi hingga 8 malam, untuk sarapan pagi dan minuman petang.

Terdapat juga pilihan makanan berat seperti laksa utara, nasi lemak ayam berempah dan nasi tomato.

3. Atap by Pagi Coffee Co, Subang Jaya

Terletak di loteng tingkat dua di SS15 Subang Jaya, Atap by Pagi Coffee Co dengan hidangan istimewanya, roti dengan keju bakar serta kopi dan kombucha menjadi pilihan utama.

Dibuka dari 7.30 pagi hingga 6 petang, kafe ini sesuai untuk mereka yang mencari persekitaran yang estetik dan tenang untuk sarapan pagi atau ‘brunch’.

4. Kafe Auntie Foo, Kuala Selangor

Mulakan travelog anda di Kuala Selangor di Kafe Auntie Foo. Terletak di kaki Bukit Melawati dan berhampiran Taman Alam Kuala Selangor, kafe ini merupakan tempat persinggahan yang sesuai selepas bersiar-siar di sekitar dua tempat bersejarah ini.

Kafe ini menawarkan pelbagai makanan ringan dan minuman berserta buku untuk pelanggan. Ia juga dikenali sebagai pusat sehenti untuk pelancong mendapatkan maklumat ketika melawat Kuala Selangor.

5. 100Houz Coffee & Breakfast, Kajang

Rumah teres 70-an yang terletak di Jalan Reko, Kajang ini menawarkan pelbagai menu sarapan bertemakan Inggeris, yang memberikan suasana tenang.

Sesuai untuk mereka yang mengidamkan sarapan atau ‘brunch’ yang santai. Kafe ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

6. Pak Teh Kopitiam, Kuala Langat

Terletak hanya 35 minit dari Shah Alam, banglo tradisional Cina satu tingkat ini memberikan suasana klasik, namun masih mempunyai cita rasa moden tersendiri.

Kopitiam halal ini menawarkan pelbagai pilihan sarapan Asia yang ikonik; roti bakar kaya, telur separuh masak dan nasi lemak. Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang, kopitiam ini juga penuh dengan penunggang basikal sejak awal pagi.

7. Hay! Cafe, Sekinchan

Dikelilingi sawah padi yang menghijau, kafe bertema Inggeris ini menawarkan pelbagai hidangan enak; nasi lemak ayam rempah, pasta, kopi dan kek.

Pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera dalam pendingin hawa atau di luar sambil melihat sawah padi Sekinchan. Kafe ini dibuka dari 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari.

8. Bahulu Classiq, Hulu Langat

Bahulu Classiq mengimbau kenangan suasana bersarapan di Batu 18, Kampung Jawa. Kedai kecil ini menawarkan menu yang enak seperti lontong, mi jawa dan mi rebus asli.

Lokasinya berhadapan Mata Air Panas Kampung Jawa, salah satu Geotapak Selangor dan terkenal dalam kalangan penunggang basikal.

9. Roti Leleh Batu Arang, Gombak

Penuh dengan sejarah dan nilai warisan, Batu Arang merupakan sebuah pekan kecil di Gombak. Roti Canai Batu Arang adalah tempat Geo-Food yang terkenal untuk penunggang basikal

Kedai dibuka setiap hari kecuali Selasa dan Jumaat dari 6 pagi hingga 1 tengah hari.

10. Warong Ketupat Yan Kampung Permatang, Kuala Selangor

Kedai ini menyajikan pelbagai jenis ketupat, sate, serunding dan kuih tempatan. Dibuka setiap hari dari 7 pagi, anda mesti bersarapa dan mencuba menu istimewa mereka sate kerang.

Untuk lebih banyak inspirasi pelancongan ke Selangor, layari laman web www.selangor.travel atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan YouTube Tourism Selangor.


Pengarang :