SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri bertekad memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman berkualiti, selesa dan selamat diterjemahkan menerusi beberapa inisiatif termasuk Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain itu program lain seperti Skim Smart Sewa juga diwujudkan bagi memastikan rakyat bukan hanya memiliki rumah tetapi juga kediaman selesa.
“Jika tidak kita hanya akan mencipta ‘slum area’ (kawasan tidak terurus) yang baharu.
“Sebab itu ada beberapa langkah yang kita telah (dan sedang) laksanakan dan akan ditambah (nanti),” katanya dalam sesi Sembang Malam: 5 Tahun Amirudin Shari Mengurus Krisis dan Mentadbir Negeri yang disiarkan secara langsung di tiktok SelangorTV pada Isnin.
Mengulas lanjut Amirudin berkata Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 menetapkan harga kawalan atau mampu milik sehingga RM250,000 dan ke bawah.
“Itu adalah harga kawalan dan jumlah yang yang telah diluluskan kira-kira 60,000 unit dengan yang telah siap sekitar 4,500 unit dan kira-kira 7,000 masih dalam pembinaan dan selebihnya Kebenaran Merancang (KM),” katanya.
EXCO Perumahan Rodziah Ismail sebelum ini berkata Kerajaan Negeri menyasarkan membina 60,000 unit kediaman menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 menjelang 2025 dengan 83,603 permohonan direkodkan sehingga 1 Februari lalu.
Skim Smart Sewa pula memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.
Tempoh sewaan minima selama dua tahun akan diberikan pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dan tempoh maksima sewaan adalah lima tahun.